NILAI ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran dan prestasi ringgit akan dipengaruhi oleh perkembangan global dan domestik, memandangkan Malaysia mengamalkan rejim kadar pertukaran yang fleksibel.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024, pergerakan ringgit dalam tempoh lapan bulan pertama 2023 banyak dipengaruhi oleh faktor global terutamanya perkembangan di Amerika Syarikat (AS) dan pemulihan ekonomi China yang kurang memberangsangkan.
“Pada awal tahun, ringgit bermula kukuh dengan peningkatan sebanyak 3.2 peratus dan ditutup pada RM4.267 berbanding dolar AS pada akhir Januari.
“Prestasi kukuh ini disokong oleh jangkaan bahawa Fed AS mencapai kadar terminal dalam masa terdekat dan sentimen positif terhadap pembukaan semula sempadan China.
Walau bagaimanapun, ringgit mula mengalami beberapa sir penyusutan sejak pertengahan Februari hingga Ogos,” kata laporan tersebut.
Tambah laporan itu, penyusutan dalam tempoh tersebut berpunca daripada perubahan naratif mengenai kenaikan kadar faedah AS ke arah pendirian ‘hawkish’ iaitu pendirian bank pusat yang cenderung ke arah pengetatan dasar monetari atau menaikkan kadar faedah bagi mengekang inflasi.
Jelasnya, prestasi kurang memberangsangkan itu juga dikeruhkan lagi oleh kelembapan pemulihan ekonomi China setelah Bank Pusat China mengumumkan penurunan kadar faedah secara mengejut pada Jun dan Ogos yang melemahkan nilai renminbi dan terus menjejaskan sentimen terhadap ringgit.
“Bagi tempoh yang sama, pasaran pertukaran asing turut terjejas oleh keruntuhan Silicon Valley Bank (SVB) dan krisis siling hutang AS. Meskipun berdepan insiden tersebut, dolar AS kekal menjadi pilihan dalam kalangan pelabur sebagai mata wang selamat.
“Tambahan pula, pelarasan kadar faedah AS yang cepat dan berskala besar sebanyak 100 mata asas serta jangkaan kenaikan pada masa hadapan memberikan sokongan tambahan kepada dolar AS.
“Keadaan ini telah menyebabkan ringgit menyusut sebanyak 4.9 peratus dan ditutup pada RM4.638 berbanding dolar AS pada akhir Ogos sejajar dengan mata wang utama dan serantau lain yang turut merosot berbanding dolar AS,” ujarnya. – UTUSAN










