Kutipan SST 2024 dijangka berjumlah RM35.8 bilion 

[TINJAUAN EKONOMI/FISKAL 2024] Kutipan SST 2024 dijangka berjumlah RM35.8 bilion 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN dijangka mengutip cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sejumlah RM35.8 bilion atau 1.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan penggunaan yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap sentimen pengguna dan perniagaan.

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 melaporkan, kutipan cukai tidak langsung dijangka meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM58.6 bilion terutamanya disumbangkan oleh kutipan yang lebih tinggi daripada SST.

Menurut tinjauan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu, kutipan cukai jualan dijangka meningkat sebanyak empat peratus kepada RM18.3 bilion terutamanya disumbangkan oleh mesin dan alat ganti.

“Manakala cukai perkhidmatan dianggar sebanyak RM17.5 bilion disokong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi makanan dan minuman diikuti oleh sektor telekomunikasi dan insurans,” katanya.

“Kutipan duti eksais diunjur meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM13.6 bilion berikutan peningkatan rokok yang diimport, langkah yang diperkenalkan seperti mengenakan duti ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape, meluaskan skop cukai minuman bergula serta prospek stabil dalam industri automotif,” katanya.

Mengulas lanjut, kutipan daripada cukai langsung bagi 2024 dianggar meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada RM185 bilion atau 75.9 peratus daripada jumlah hasil cukai.

“Sebahagian besar peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat (CITA) sebanyak RM106.4 bilion dan cukai pendapatan individu berjumlah RM42.5 bilion.

“Kenaikan CITA terutamanya disumbangkan oleh prospek pendapatan syarikat yang lebih baik dan usaha berterusan dalam meningkatkan pengauditan dan pematuhan cukai,” katanya.

Sementara itu, cukai pendapatan individu dijangka meningkat sebanyak 6.9 peratus seiring dengan prospek kadar pengangguran dan pertumbuhan upah tahunan yang lebih baik.

Jelasnya lagi, kutipan cukai pendapatan petroleum (PITA) dijangka berjumlah RM21.7 bilion berikutan purata harga minyak mentah yang stabil iaitu pada paras USD85 setong.

“Sebaliknya, hasil daripada cukai langsung lain yang terdiri daripada duti setem dijangka mencatat RM8.6 bilion dan cukai keuntungan harta tanah pula sebanyak RM0.8 bilion selaras dengan jangkaan pasaran harta tanah yang lebih baik,” katanya.

Kerajaan juga kekal komited dalam mengukuhkan asas hasil, merapatkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan cukai dengan matlamat utama untuk mengutip hasil yang mampan.

Katanya, matlamat ini akan dicapai melalui pelbagai inisiatif termasuk tetapi tidak terhad kepada pengoptimuman insentif cukai, pengurangan kehilangan cukai dan peningkatan pematuhan cukai melalui proses audit yang berkesan.

“Selain itu, usaha akan dipertingkatkan untuk menambah baik mobilisasi hasil dan ketelusan cukai melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana dan pelaporan perbelanjaan cukai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN