Hutang Kerajaan Persekutuan RM1.147 trilion akhir Ogos 2023

[TINJAUAN EKONOMI/FISKAL 2024] Hutang Kerajaan Persekutuan RM1.147 trilion pada akhir Ogos 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUTANG Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.147 trilion atau 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Ogos 2023.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024, sebahagian besar hutang tersebut dalam denominasi ringgit iaitu 97.4 peratus manakala baki sebanyak 2.6 peratus dalam mata wang asing.

“Instrumen patuh syariah merangkumi RM569.2 bilion atau 49.6 peratus daripada jumlah hutang menunjukkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan pasaran modal Islam.

“Sebahagian besar instrumen tersebut adalah dalam denominasi ringgit laitu 96.5 peratus manakala bakinya dalam dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Justeru, kerajaan bertekad menstruktur semula ekonomi serta membina semula daya tahan dan kapasiti fiskal negara selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, selain komited melaksanakan pengurusan hutang berhemat bagi mengurangkan pendedahan hutang dan lialibiti serta melaksanakan strategi pembiayaan yang mantap.

“Dalam hal ini, pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan diuniur lebih rendah sekitar 10 peratus daripada KDNK. Pembiayaan akan diperoleh sepenuhnya daripada sumber dalam negeri dengan mengambil kira kecairan yang mencukupi dan daya tahan pasaran modal tempatan.

“Selain itu, usaha akan ditumpukan bagi memastikan profil kematangan hutang yang terurus dengan mengurangkan terbitan dan jumlah terkumpul instrumen jangka pendek dalam mengurus risiko pembiayaan semula,” katanya.

Jelas laporan, pinjaman tambahan luar jangka dalam tempoh pandemik menyebabkan peningkatan paras hutang Kerajaan Persekutuan dan masih memberikan impak berterusan ke atas kewangan awam.

Oleh itu, kerajaan telah mengekalkan had statutori hutang pada paras 65 peratus daripada KDNK melalui Perintah Pinjaman (Tempatan) (Had Statutori Piniaman) dan Pendanaan Kerajaan (Had Statutori Wang yang Diterima) 2022 [P.U. (A) 399/2022] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 berikutan nisbah hutang kepada KDNK yang tinggi dan keperluan pembiayaan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12).

“Pada akhir Ogos 2023, hutang statutori Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatat sebanyak 59.9 peratus daripada KDNK iaitu di bawah had statutori hutang yang ditetapkan.

“Sementara itu, had statutori hutang bagi pinjaman luar pesisir yang ditetapkan di bawah Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 [Akta 403] kekal pada paras RM35 bilion dan had statutori Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) di bawah Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 [Akta 188] juga kekal pada paras RM10 bilion.

“Dalam hal ini, pinjaman luar pesisir sehingga akhir Ogos 2023 beriumlah RM30 bilion manakala MTB berjumlah RM3.5 bilion. Hutang terkumpul bagi setiap instrumen masih tidak melebihi nilai ambang yang ditetapkan,” ujarnya.

Menurutnya, hutang dalam negeri jangka pendek dengan tempoh matang kurang daripada 12-bulan adalah MTB sebanyak RM3.5 bilion dan MITB sebanyak RM31 bilion manakala hutang dalam negeri jangka sederhana dan panjang yang bertempoh matang antara 3 hingga 30 tahun terdiri daripada MGS sebanyak RM564.3 bilion dan MGII sebanyak RM512.8 bilion.

“Komponen lain hutang dalam negeri ialah Sukuk Perumahan Kerajaan (SPK) yang berjumlah RM5.5 bilion dan akan ditebus sepenuhnya pada 2024.

“Di samping itu, pendedahan Malaysia kepada risiko tukaran asing adalah minimum berikutan komposisi pinjaman luar pesisir yang kecil iaitu sebanyak RM30 bilion.

“Pinjaman luar pesisir terdiri daripada pinjaman pasaran sebanyak RM26.3 bilion dalam denominasi dolar AS (75.8 peratus) dan yen (24.2 peratus) manakala pinjaman projek berjumlah RM3.7 bilion yang hampir keseluruhannya dalam denominasi yen (97.6 peratus) dan bakinya dalam mata wang lain,” ujarnya.

Hutang Kerajaan Persekutuan diunjur sekitar 64 peratus daripada KDNK pada akhir 2024 terutamanya untuk membiayai projek pembangunan strategik di bawah RMK12.

Projek tersebut termasuk program tebatan banjir, lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR), lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dengan Singapura serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara atau kini dikenali sebagai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Dalam mendepani cabaran masa hadapan, kerajaan komited untuk mencapai konsolidasi fiskal melalui inisiatif pembaharuan fiskal yang jitu.

Justeru, nisbah hutang kepada KDNK dijangka berkurang secara beransur-ansur dalam tempoh jangka masa sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×