HASIL bukan cukai dijangka merosot sebanyak 13.8 peratus kepada RM64 bilion atau 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 ekoran hasil yang lebih rendah daripada pendapatan pelaburan.
Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 mendedahkan, dividen tahunan daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) juga dijangka lebih rendah berbanding 2023.
Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu, Petronas dijangka membayar dividen berjumlah RM32 bilion kepada kerajaan bagi 2024 berbanding RM40 bilion bagi 2023 dan RM50 bilion pada 2022.
Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menyumbang jumlah dividen yang lebih tinggi sebanyak RM3 bilion bagi 2024 berbanding jangkaan RM2.75 bilion bagi tahun ini.
“Sementara itu, sejumlah RM1 bilion dijangka diterima daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), sebagai sumbangan untuk membiayai sebahagian bayaran persaraan.
“Selain itu, lesen dan permit dijangka mencatat RM14.6 bilion terutamanya disumbangkan oleh royalti petroleum sebanyak RM5.6 bilion diikuti oleh levi pekerja asing berjumlah RM3.3 bilion dan lesen kenderaan bermotor sebanyak RM3.1 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, hasil berkaitan petroleum dijangka lebih rendah berjumlah RM61.8 bilion atau 3.1 peratus daripada KDNK berbanding RM69.8 bilion atau 3.8 peratus pada 2023 terutamanya disebabkan dividen Petronas yang lebih rendah walaupun purata harga minyak mentah diunjur lebih tinggi.
“Hasil bukan petroleum yang merangkumi 80 peratus daripada jumlah hasil diunjur meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada RM245.8 bilion mencerminkan kepelbagaian hasil yang lebih baik disokong oleh prospek ekonomi yang menggalakkan.
“Justeru, Kerajaan akan terus memastikan penjanaan hasil bukan petroleum yang mampan bagi membiayai komitmen perbelanjaan terutamanya dalam menyediakan infrastruktur dan kebajikan sosial yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, menurut laporan berkenaan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 dijangka mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik.
Ujarnya, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama iaitu 79.2 peratus daripada jumlah hasil atau 12.3 peratus daripada KDNK manakala hasil bukan cukai mewakili 20.8 peratus (3.2 peratus daripada KDNK).
“Kutipan hasil akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh berserta langkah yang diambil untuk meningkatkan lagi mobilisasi hasil melalui perluasan asas cukai serta menambah baik pematuhan dan ketelusan cukai.
“Selain itu, beberapa langkah akan dilaksanakan, antaranya pengenalan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat dan e-invois,” katanya. – UTUSAN










