Aset bank Islam berkembang sebanyak 8.1 peratus

[TINJAUAN EKONOMI/FISKAL 2024] Aset bank Islam berkembang sebanyak 8.1 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMLAH aset  bank Islam berkembang sebanyak 8.1 peratus kepada RM1.293 trilion iaitu 36.4 peratus daripada bahagian pasaran pada akhir Julai 2023, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024.

Laporan itu berkata, perbankan Islam terus menyokong keperluan sosial dan ekonomi sejajar dengan prinsip kewangan berasaskan nilai menerusi penyelesaian patuh syariah yang pelbagai dan inovatif.

Katanya, jumlah pembiayaan Islam terkumpul meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada RM844.1 bilion pada akhir Julai dengan kadar pertumbuhan melebihi trend pertumbuhan pinjaman konvensional.

“Permintaan pembiayaan isi rumah kekal kukuh dan merangkumi sebahagian besar daripada jumlah pembiayaan iaitu 63.1 peratus terutamanya bagi hartanah kediaman dan kereta penumpang.

“Prospek perbankan Islam kekal memberangsangkan disokong oleh ekosistem yang matang bagi menggalakkan keterangkuman kewangan dan sosial,” kata laporan itu.

Tambahnya, ekosistem ini merangkumi peraturan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759]; produk dan perkhidmatan yang pelbagai serta inovatif; peserta industri yang berdaya tahan; strategi pendigitalan yang progresif; serta asas pembiayaan yang kukuh menerusi pengantaraan berasaskan nilai (VBI).

Di samping itu, komitmen padu Malaysia dalam agenda kewangan sosial diterjemahkan menerusi penyediaan kohort ke-3 kepada Panduan Sektoral bagi Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBIAF).

“Panduan Sektoral ini akan di muktamad dan diterbitkan pada suku keempat 2023 menggabungkan pertimbangan risiko berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) korporat semasa membuat keputusan pembiayaan dan pelaburan.

“Gabungan VBI dan kewangan sosial akan terus meletakkan negara sebagai peneraju dalam mencapai matlamat kemampanan melalui pembiayaan patuh syariah yang mengimbangi antara keperluan sosial dan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi,” ujarnya.

Tambahnya, kewangan Islam disasarkan sebagai pengantara kepada pelbagai bentuk modal yang menyumbang ke arah sistem ekonomi inklusif dan adil di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Kewangan Islam di Malaysia disarankan untuk menghayati prinsip halal dan juga perlu menerapkan prinsip Tayyib.

“Aspirasi ini sejajar dengan nilai syariah yang diterapkan dalam kewangan Islam yang bertujuan menggalakkan pengagihan kekayaan seimbang, membasmi kemiskinan, memupuk kerjasama dan menggalakkan pembangunan mampan.

“Nilai tersebut bersifat ‘universal’ dan boleh membentuk sistem kewangan yang lebih mampan dan inklusif di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN