PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalankan pemeriksaan berkala secara bulanan terhadap semua empangan hidroelektriknya disamping melaksanakan audit integriti struktur setiap enam bulan.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Ir. Muhamad Nazri Pazil berkata, ia bertujuan untuk memastikan struktur ke semua empangan kekal utuh serta berfungsi dengan baik selain mengenalpasti sebarang potensi risiko yang mungkin timbul.
Menurut beliau, Penilaian Keselamatan Empangan oleh pakar empangan bebas dilaksanakan setiap lima tahun selaras dengan garis panduan antarabangsa Suruhanjaya Antarabangsa Mengenai Empangan Besar (ICOLD), dimana pakar-pakar empangan dilantik untuk memeriksa dan menilai keadaan integriti empangan dan struktur yang berkaitan.
Jelas beliau, ia bertujuan untuk memastikan struktur seperti alur limpah, muka sauk, empangan pelana dan sebagainya berfungsi dengan baik dan kukuh selain turut menilai keadaan empangan dalam menjamin keselamatan dan integritinya.
“Pemeriksaan ini dijalankan dengan teliti oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Genco dan berdasarkan garis panduan di Malaysia iaitu Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan di Malaysia (MyDams) 2017.
“Langkah-langkah tersebut membolehkan empangan TNB kekal utuh bukan sahaja untuk membekalkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional, malah berfungsi sebagai sistem tebatan banjir dan sumber bekalan air untuk kegunaan domestik termasuk air bersih,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut Muhamad Nazri berkata, amalan penyelenggaraan dipertingkatkan di empangan TNB merangkumi stesen-stesen janakuasa di Sungai Perak, Kenyir dan Cameron Highlands terutamanya menjelang musim tengkujuh.
Ujar beliau, ia dapat membantu dalam meminimumkan kesan bencana alam seperti yang dialami empangan terbesar di Semenanjung Malaysia, Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) yang mana struktur Empangan Kenyir didapati kekal kukuh dan selamat untuk beroperasi selepas dilanda banjir besar pada awal tahun lalu.
Beliau berkata, penilaian oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui pasukan ‘Flying Squad’ menunjukkan Empangan Kenyir didapati berfungsi dengan baik dan penilaian fizikalnya dikategorikan sebagai baik dan selamat seperti Laporan bertarikh Ogos 2022.
“NRECC menyarankan agar pihak TNB sebagai operator empangan meningkatkan tahap penyelenggaraan secara rutin bagi memastikan Empangan Kenyir sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Pemeriksaan tersebut dilaksanakan secara visual di tapak dengan melibatkan komponen utama empangan seperti landasan tambak, cerun hulu, cerun hilir, keliling takungan, alur limpah dan rabung.
“Semua saranan pasukan ‘Flying Squad’ dalam laporan bertarikh Ogos 2022 sudah diambil tindakan dan kerja-kerja pemulihan adalah berterusan di mana penemuan komponen yang perlu disenggara yang dinyatakan oleh laporan itu adalah penemuan Operasi dan Penyenggaraan (O&M) yang kebiasaannya dikesan oleh TNB Genco sendiri yang memerlukan penggantian, pembaikan atau pemulihan,” katanya.
Muhamad Nazri berkata, adalah menjadi amalan TNB melaksanakan pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal, latihan pengungsian dan ujian tahap ketersediaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan banjir setiap kali menjelang musim tengkujuh.
“Sebagai langkah berjaga-jaga pihak TNB telah memasang siren keselamatan di sekitar kawasan berdekatan empangan TNB dan sebelum musim tengkujuh tiba, paras air empangan diturunkan melalui pelepasan terkawal bagi membolehkan empangan mampu menakung jumlah air hujan banyak.
“Untuk makluman, semua empangan hidroelektrik TNB kini berada dalam keadaan baik serta kukuh, manakala air yang dilepaskan untuk tujuan penjanaan elektrik adalah terkawal,” katanya. – UTUSAN










