Segi Fresh sedia bekerjasama bantu tangani kos sara hidup

Segi Fresh sedia bekerjasama bantu tangani kos sara hidup

TENGKU Amir Shah bersama Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalulail pada Majlis Pelancaran JER dekat cawangan Segi Fresh, Telok Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pasar raya Segi Fresh melalui 100 cawangannya di seluruh negara sedia bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan bagi menawarkan harga barangan keperluan pada harga lebih berpatutan sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Pengarah Segi Value Holdings Sdn. Bhd. (SVH), Datuk Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalulail berkata, malah pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Segi Fresh mempunyai 100 rangkaian pasar raya seluruh negara dan 50 di negeri ini amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk menjadi rakan kongsi strategik PKPS dalam mengurangkan kos hidup rakyat Selangor menerusi Jelajah Ehsan Rahmah (JER).

“Selain barangan asas, Segi Fresh turut menawarkan 20 hingga 30 jenis barangan segar pada harga diskaun 15 hingga 20 peratus semasa JER,” katanya pada Majlis Pelancaran JER dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Beliau menambah, Segi Fresh menyumbang lebih RM400,000 pada Ogos dan September lalu sebagai sebahagian daripada peranan pihak SVH yang menyokong inisiatif kerajaan menerusi JER.

Sementara itu, Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, JER yang dijalankan sejak September tahun lepas oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui PKPS merupakan program jualan barangan keperluan asas iaitu ayam, ikan, daging, telur, beras dan minyak masak dengan harga diskaun 30 peratus dan mampu mencapai hasrat membantu rakyat di negeri ini.

“JER membuka peluang untuk KPDN yang merupakan agensi Kerajaan Persekutuan, mewujudkan sinergi dengan agensi kerajaan negeri. Jadi, kita gabungkan sumber dan kekuatan untuk mencapai matlamat yang sama membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Usaha ini kita mantapkan lagi dengan rakan kerjasama yang baharu iaitu Segi Fresh,” ujarnya.

Untuk rekod, sehingga 31 Julai lalu, JER yang dilaksanakan di bawah KPDN di seluruh negara menerima kunjungan pelanggan seramai 2.1 juta orang dengan nilai jualan mencecah RM57 juta.

Manakala di Selangor sahaja, jumlah pengunjung direkodkan sebanyak 266,117 orang dengan nilai jualan sebanyak RM12.6 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN