PETALING JAYA: Saham Boustead Plantations Bhd. (BPlant) susut sebanyak 27 sen atau 18.49 peratus pada sesi dagangan pagi semalam, menjelang tarikh akhir kedua cadangan pengambilalihan syarikat perladangan milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu oleh Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK), pada 6 Oktober ini.
Memetik laporan The Edge, kaunter BPlant adalah paling aktif di Bursa Malaysia, dengan 28.82 juta saham didagangkan.
Kaunter syarikat itu ditutup pada RM1.22 pada pembukaan pasaran tengah hari semalam, turun 24 sen atau 16.44 peratus daripada penutup RM1.46 pada Jumaat lalu, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM2.73 bilion.
Berikutan penurunan mendadak tersebut, Bursa Malaysia telah menggantung jualan Pedagang Harian Proprietari (PDT) dan Jualan Singkat Intra Hari (IDSS) BPlant.
Sementara itu, saham KLK didagangkan tidak berubah pada RM21.40 sesaham pada waktu rehat.
Penjualan itu telah mencetuskan kebimbangan bahawa pengambilalihan oleh KLK mungkin menghadapi halangan. Kedua-dua KLK dan LTAT enggan mengulas ketika dihubungi, menurut laporan itu.
Pada 24 Ogos lalu, KLK buat pertama kali mengumumkan merancang untuk mengambil alih 33 peratus pegangan dalam BPlant daripada LTAT dan Boustead Holdings Bhd. pada harga RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham, dan akan melanjutkan tawaran am mandatori dengan rancangan untuk meningkatkan pegangan kepada 65 peratus.
Sementara itu, LTAT dan Boustead akan memiliki baki 35 peratus pedagangan dengan BPlant akan diswastakan.
Tarikh akhir cadangan itu pada mulanya dilanjutkan kepada 22 September dari 11 September. Ia kemudian dilanjutkan lagi selama dua minggu sehingga 6 Oktober ini.
Urusniaga itu mendapat perhatian selepas pemimpin pembangkang mendakwa perjanjian berkenaan tidak sesuai dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran pegangan ekuiti korporat bumiputera sebanyak 30 peratus menjelang 2025 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Dalam reaksinya di Parlimen pada 18 September lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, LTAT telah mempelawa 15 syarikat berkaitan perladangan termasuk Sime Darby Plantation Bhd., Lembaga Tabung Haji, Tradewinds Corp. dan FGV Holdings Bhd. untuk proses bidaan.
Bagaimanapun katanya, kebanyakan syarikat tidak berminat atau mengemukakan bidaan yang terlalu rendah.
“Boustead sebagai sebuah syarikat memilih tawaran yang lebih tinggi (daripada KLK) kerana mereka memerlukan RM800 juta menjelang akhir tahun, dan RM1.7 bilion lagi untuk menebus nota jangka sederhana Islam mereka,” kata beliau. – UTUSAN










