Ringgit jatuh ke paras terendah 25 tahun

Ringgit jatuh ke paras terendah 25 tahun

RINGGIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit jatuh ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia kerana mata wang tempatan ditimbang oleh kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS) dan perbezaan kadar yang semakin meluas dengan negara itu.

Mata wang tempatan turun sebanyak 0.3 peratus kepada 4.7635 berbanding dolar AS, pa­ling lemah sejak 1998, sekali gus menjadikannya prestasi terburuk di Asia tahun ini selepas yen Jepun.

Kerugian terbaharu datang apabila dolar meningkat atas permintaan di tengah-tengah kebimbangan terhadap perang Israel-Hamas.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka lemah berban­ding dolar AS apabila hasil Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat kepada 4.91 peratus – tertinggi sejak 2007.

Mata wang tempatan itu ditutup pada 4.7660/7630 daripada 4.7430/7450 kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, prestasi ringgit yang menurun sememangnya merisaukan pelbagai pihak dan ia mungkin disebabkan reaksi negatif Belanjawan 2024 yang baru dibentangkan.

“Justeru, kerajaan boleh membuat kajian dan pembetulan misalnya apa yang perlu lebih ditonjolkan dalam Belanjawan tentang bagaimana kita boleh tingkatkan pendapatan dan ubah kemahiran supaya sesuai dengan revolusi industri 5.0.

“Ada juga beberapa aspek yang kurang diyakini penganalisis tentang bagaimana kerajaan mahu kurangkan subsidi, memperbaiki defisit dan kurangkan pinjaman antarabangsa,” kata­nya ketika dihubungi.

Selain itu, jelas beliau, keada­an antarabangsa juga memainkan peranan kerana semua mata wang di rantau ini menurun.

“Ini yang cuba dilakukan oleh AS sebab mereka tergugat dengan kerjasama Russia dan China.

“Namun, sekiranya tiada perkara besar berlaku, saya jangkakan ringgit akan kembali mengukuh ke tahap RM4.40 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Strategi di Mizuho Bank Ltd. di Singapura, Vishnu Varathan berkata, ringgit berpres­tasi rendah disebabkan oleh ‘tebaran kadar sebenar’ yang boleh bertukar menjadi lebih tidak menguntungkan, ter­utamanya apabila penarikan semula subsidi mencecah inflasi dan mendedahkan kadar dasar sebenar yang lebih lembut.

“Penggubal dasar menghadapi pertukaran antara hala­ngan ekonomi daripada kadar yang lebih tinggi, atau risiko tidak bertindak balas dan membahaya­kan kestabilan ma­kro dan ringgit,” tambahnya.

Pada dagangan sebelah pagi semalam, ringgit turut susut berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali pound British di mana ia mengukuh kepada 5.7809/7852 daripada 5.7869/7917 penutup kemarin.

Nota tempatan jatuh berban­ding euro kepada 5.0181/0218 daripada 5.0140/0182 dan rendah berbanding yen pada 3.1794/1820 daripada 3.1685/1714.

Ringgit turut susut berbanding baht Thailand kepada 13.0757/0907 ­berbanding 13.0738/0914, susut berban­ding rupiah Indonesia pada 301.5/302.0 daripada 301.2/301.5 sebelumnya.

Ia susut berbanding dolar Si­ngapura kepada 3.4669/469 daripada penutup Rabu 3.4649/4681 tetapi meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.39 daripada 8.37/8.38. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN