Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), melantun semula selepas terjejas oleh sentimen penghindaran risiko akibat ketegangan di Asia Barat.

Pada pukul 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7840/7890 berbanding dolar AS daripada 4.7900/7975 pada penutup semalam, memetik laporan Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, permintaan terhadap mata wang domestik sederhana selepas berada dalam kedudukan yang sangat terlebih jual dari sudut teknikal.

“Ringgit kini berlegar pada paras terendah 25 tahun selepas susut kepada 4.7900/7975 semalam, sekali gus membuka lebih banyak peluang dagangan,” katanya.

Selain itu, harga minyak yang lebih tinggi turut mempengaruhi prestasi positif ringgit berbanding dolar AS pada dagangan pagi ini.

Pada awal dagangan, ringgit bagaimanapun susut berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 5.1055/1108 daripada 5.0736/0815 pada penutup semalam, susut berbanding pound Britain kepada 5.8628/8689 daripada 5.8179/8270, dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1959/1995 daripada 3.1935/1985.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 300.2/300.6 daripada 300.5/301.2. Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.45 daripada 8.43/8.44.

Bagaimanapun, ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.2005/2183 daripada 13.1104/1359 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.5007/5046 daripada 3.4731/4767. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN