PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam segi dagangan pagi ini, disebabkan pengukuhan mata wang berkenaan didorong minat baharu dalam mata wang yang lebih selamat, berikutan krisis di Asia Barat, kata penganalisis.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.7150/7200 berbanding dolar AS, daripada penutup Jumaat lalu pada 4.7115/7155.
Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, permintaan terhadap dolar AS telah meningkat susulan perkembangan terbaharu dalam konflik Israel-Palestin yang dijangka menjadi tumpuan.
Beliau berkata, walaupun masih belum dapat dipastikan sama ada konflik berkenaan boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat, kebimbangan terhadap harga minyak mentah adalah sesuatu yang dibimbangkan oleh pasaran.
“Pasaran bimbang sama ada ia (harga minyak mentah) akan mencetuskan kejutan dalam pasaran yang dikawal ketat. Apakah ini memberi makna kepada inflasi, dan bagaimana bank pusat utama seperti Rizab Persekutuan AS akan bertindak balas,” katanya.
Pada masa yang sama, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia turun berbanding yen pada 3.1619/1657 daripada 3.1612/1641. Ringgit turut susut berbanding euro kepada 4.9847/9900 daripada 4.9720/9763, dan susut berbanding pound British kepada 5.7622/764.
Mata wang tempatan itu juga didagangkan rendah berbanding mata wang ASEAN lain, kecuali berbanding peso Filipina, di mana ringgit meningkat kepada 8.31/8.33 daripada 8.32/8.33 pada Jumaat.
Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.7525/7706 daripada 12.7200/7367, susut berbanding rupiah Indonesia pada 301.9/302.4 daripada 301.7/302, dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4519/4559 daripada 3.4458/4493 sebelumnya. – UTUSAN










