CYBERJAYA: Gergasi kenderaan elektrik antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), Tesla secara rasmi membuka Pusat Tesla pertama seumpamanya di negara ini.
Terletak bersebelahan pejabat firma teknologi terkenal Jepun, NTT Data di Persiaran Apec, premis berkeluasan 5,110 meter persegi itu berperanan sebagai pusat sehenti.
Menurut Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan, bangunan dua blok itu memuatkan bilik pameran, jualan, sistem pengecas super, auditorium, ruang kerja dan pusat servis.
“Uniknya, kami mengambil masa cuma selama dua bulan sahaja bagi menyiapkan pusat ini yang kini sudah mempunyai lebih 30 kakitangan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Acara perasmian secara sederhana dengan pemotongan reben disempurnakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Syarikat Tesla Sdn. Bhd. mempunyai modal berbayar RM3.6 juta dengan 100 peratus dipegang oleh Tesla International BV dan dikorporatkan di Malaysia pada 22 Mei 2017.
Pada 1 Mac lalu, ia memperoleh kebenaran pengimportan kenderaan elektrik (EV) jenama Tesla oleh kerajaan di bawah skim peneraju dikenali Global Battery Electric Vehicle.
Pada majlis yang sama, Isabel mengumumkan model 3 akan mula dihantar kepada para pelanggan menjelang akhir tahun ini manakala model Y pula dijangka awal tahun depan.
Untuk model 3 yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi itu ditawarkan pada harga runcit mulai daripada RM189,000 untuk varian pacuan roda belakang (RWD).
Sementara model Y yang dianggap sebagai model ’crossover’ dijual pada harga bermula RM199,000 untuk varian RWD dan sudah dilancarkan di Kuala Lumpur, pada Julai lalu.
Tengku Zafrul ketika berucap memuji peranan dimainkan Tesla dalam memacu ekosistem EV di negara ini selain menjana peluang pekerjaan dan menyokong automotif tempatan.
Pelaburan dalam sektor itu juga katanya, merekodkan nilai mencecah RM26.2 bilion dari 2018 sehingga Mac lepas dan trend tersebut selaras dengan perkembangan EV sejagat.
“Menjelang 2030, kita berhasrat agar ekosistem ini sumbang 15 peratus daripada ‘volume industri total’ malah menjadi 38 peratus pada 2040 dan 80 peratus pada 2050,” katanya.
Justeru, beliau membayangkan pemilikan EV pada masa depan dapat diakses lebih mudah oleh semua lapisan rakyat yang bukan sekadar golongan T20 dan M40, bahkan B40.
Usaha itu tambah beliau, tidak mustahil sejajar menerusi pelbagai skim pembiayaan dan subsidi bersasar yang disusun oleh kerajaan di bawah Rangka Kerja Ekonomi Madani.
Menyentuh mengenai pembukaan Pusat Tesla itu, Tengku Zafrul gembira dengan komitmen tinggi syarikat tersebut dalam menyokong agenda ekosistem EV kebangsaan. – UTUSAN










