Pengambilahan BPlant oleh LTAT bersifat suntikan dana - Utusan Malaysia

Pengambilahan BPlant oleh LTAT bersifat suntikan dana

LTAT bercadang untuk membeli Boustead Plantation pada harga RM1.55 sesaham.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilalihan Boustead Plantations Bhd. (BPlant) oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) lebih bersifat suntikan dana untuk membantu Boustead Holdings Bhd. (BHB) mendapatkan kecairan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah itu dilihat bagi membantu memenuhi komitmen hutang syarikat tersebut yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat.

“Ini bermakna, BPlant tiada pilihan tetapi terpaksa menerima tawaran itu, melainkan ada pembeli lain yang sanggup menawarkan harga yang lebih tinggi.

“Namun, saya tidak yakin ada pembeli lain kerana BPlant menghasilkan tuaian yang lebih rendah dari purata industri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berpendapat, kerajaan tidak perlu bailed out kerana ia memberi bayangan seolah-olah syarikat bumiputera yang bermasalah tidak perlu risau sekiranya berhadapan isu kewangan kerana kerajaan sentiasa ada untuk membantu.

“Jika berterusan begitu, mereka akan mengambil mudah hal untung rugi kerana beranggapan jika rugi sekalipun kerajaan akan membantu. Akhirnya, isu ini tidak berkesudahan,” ujarnya.

Kelmarin, LTAT mengumumkan rancangan untuk membeli BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham.

Ini berikutan Perjanjian Kerjasama Strategik (SCA) yang ditandatangani pada 24 Ogos 2023 telah ditamatkan secara bersama oleh Boustead Holdings Berhad (BHB) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berkuat kuasa baru-baru ini.

Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) Research dalam nota penyelidikannya berkata, kegagalan perjanjian tiga pihak bagi Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) untuk mengambil alih BPlant mungkin adalah rahmat dan berpotensi menjimatkan berbilion ringgit bagi kumpulan perladangan itu.

Firma penyelidikan itu positif terhadap bidaan KLK yang tidak berjaya untuk memperoleh 33 peratus kepentingan dalam BPlant daripada Lembaga Dana Angkatan Tentera (LTAT) dan anak syarikat milik penuhnya, BHB.

“Cadangan pengambilalihan itu bukan sahaja melibatkan penilaian yang mahal, malah kos penanaman semula yang tinggi akan melibatkan keseluruhan kawasan tanaman yang sudah tua seluas 33,253 hektar.

“Pendek kata, kegagalan dalam pengambilalihan BPlant berpotensi menjimatkan lebih RM2.85 bilion untuk KLK.

“Walaupun dijanjikan peruntukan RM2 bilion daripada Kementerian Kewangan untuk membantu meringankan beban BPlant, persoalan paling penting adalah bagaimana untuk memulihkan perniagaan teras perladangannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN