MYAirline diarah beri penjelasan bertulis - Utusan Malaysia

MYAirline diarah beri penjelasan bertulis

REPUTASI MYAirline terjejas teruk selepas menggantung operasi serta-merta pada 12 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah membuka siasatan terhadap MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) dan syarikat penerbangan itu diperintahkan untuk mengemukakan penjelasan bertulis sebelum atau pada 27 Oktober 2023 (hari ini).

Menurut Mavcom, sebaik sahaja menerima penjelasan bertulis MYAirline, Mavcom akan menilai sama ada MYAirline layak untuk kekal sebagai pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau sama ada ASL MYAirline harus digantung atau dibatalkan menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Mavcom bakal mengumumkan maklumat terkini berkaitan dengan siasatan tersebut pada minggu depan.

“Selain itu, Mavcom sedang menyiasat MYAirline dengan lebih lanjut untuk sebarang kemungkinan pelanggaran syarat ASL, antara yang lain.

“Berkenaan dengan bayaran balik kepada para pengguna yang terjejas pula, Mavcom telah berhubung dengan pelbagai agensi termasuk pihak Bank Negara Malaysia untuk mengusahakan semua pilihan yang berkemungkinan dalam mendapatkan bayaran balik bagi pengguna tersebut.

“MAVCOM akan memaklumkan sebarang kemaskini berkenaan dengan bayaran balik dengan Sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mavcom telah menubuhkan Pasukan Petugas (Task Force) yang terdiri daripada seorang Ahli Suruhanjaya, Anggota-anggota Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Penyelesaian Pertikaian, serta Jawatankuasa Perlindungan Pengguna.

“Task Force ini diberi mandat untuk menyiasat bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberi cadangan mengenai langkah seterusnya.

“Walaupun rangka kerja kelulusan pelesenan sedia ada yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah komprehensif, Task Force akan turut menyemak semula rangka tersebut bagi sebarang penambahbaikan,” ujarnya.

Mavcom sebelum ini telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat penerbangan itu pada 13 Oktober 2023.

Ia berikutan pengumuman penangguhan operasi syarikat penerbangan tersebut pada 12 Oktober 2023.

Surat tunjuk sebab itu menyatakan kegagalan MYAirline untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), termasuk pembayaran gaji dan faedah pekerja yang masih belum dijelaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN