KUALA LUMPUR: Kelangsungan hidup perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan tempatan boleh membantu mereka memanfaatkan pertumbuhan kelas pertengahan di ASEAN yang semakin berkembang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, PKS juga dapat mengalihkan rantaian bekalan dan menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini.
Katanya, ASEAN adalah `China baharu’ yang dijangka akan menjadi bukan sahaja kilang dunia, tetapi juga pangkalan pengguna dan perlu diberi perhatian.
“10 negara yang membentuk ASEAN sudah pun menempatkan lebih 678 juta penduduk , dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira AS$3.7 trilion (RM17.5 trilion) pada 2022.
“Sebagai sebuah blok, ASEAN adalah ekonomi kelima terbesar di dunia. Ia juga mempunyai kelas pertengahan kira-kira 350 juta pada 2022, mewakili AS$300 bilion (RM1.4 trilion) pendapatan boleh guna.
“Selanjutnya, pada tahun 2022, apabila FDI global jatuh sebanyak 12 peratus, FDI ke ASEAN meningkat sebanyak lima peratus dan bahagian ASEAN dalam FDI global meningkat kepada paras tertinggi iaitu pada 17 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan melalui skim Pembiayaan Peluang Kedua (2CF) kepada PKS di sini.
Pertukaran MoU ini berlangsung antara Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.
Menerusi skim yang dilancarkan oleh Zafrul Tengku pada 16 Jun 2023 lalu itu, MIDF memperuntukkan RM60 juta pembiayaaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan menyasarkan RM20 juta akan disalurkan pada tahun ini.
Tambahnya, 2CF menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta untuk aset serta pembiayaan modal pada kadar pembiayaan tiga peratus setahun. – UTUSAN










