Malaysia berjaya bentuk 24 peratus terbitan Sukuk Lestari

Malaysia berjaya bentuk 24 peratus terbitan Sukuk Lestari

AWANG ADEK HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berjaya membentuk 24 peratus daripada jumlah terbitan Sukuk Lestari yang diterbitkan di bawah Piawaian ASEAN pada tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata, kejayaan tersebut menjadikan Malaysia sebagai penerbit utama Sukuk Lestari di samping menonjolkan kapasiti kewangan Islam serta komitmen kelestarian negara di rantau ini.

Menurut Awang Adek, Malaysia juga berjaya merekodkan bon dan sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) terkumpul berjumlah RM296.84 bilion dengan sukuk SRI berjumlah RM18 bilion.

Beliau berkata, negara juga berjaya mengeluarkan 58 dana SRI yang dihasilkan dengan 20 daripadanya merupakan dana Islamik.

“Komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kekal teguh di mana sejak beberapa tahun lalu, SC telah memperkenalkan pelbagai inisiatif utama dengan SRI sebagai fokus utama.

“Bagi tujuan ini, industri kewangan dan pelaburan mempunyai peluang unik untuk menyumbang kepada penyelesaian dengan mengarahkan lebih banyak modal ke arah projek yang mampan dan inklusif.

“Dengan menyalurkan pelaburan kepada tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur hijau dan inisiatif impak sosial, industri boleh memainkan peranan penting dalam memacu perubahan positif dan mempercepatkan kemajuan ke arah mencapai objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Forum Kewangan dan Pelaburan Mampan Islam Asia Kelima di sini, semalam.

Mengulas lanjut Awang Adek berkata, berdasarkan laporan statistik SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi 2023, Malaysia berada di kedudukan 78 daripada 166 negara, dengan skor 69.9 peratus, lebih tinggi daripada purata sebanyak 67.2 peratus.

“Bagaimanapun, hanya 36.6 peratus daripada sasaran SDG Malaysia berjaya dicapai atau berada di landasan yang betul manakala baki 63.4 peratus lagi menunjukkan kemajuan terhad atau lebih teruk.

“Angka ini ini menyerlahkan isu kritikal yang kita hadapi dan pada masa sama menekankan keperluan untuk tindakan berterusan dan saya berfikir inilah masanya untuk kita memanfaatkan penjajaran rapat antara prinsip Syariah dan kelestarian,” katanya.

Ujar beliau, SC melihat peningkatan di dalam ketersediaan produk berkaitan kelestarian termasuk pengenalan indeks dan dana ESG-Syariah, penubuhan pasaran karbon sukarela Islam pertama di dunia, dan lonjakan dalam terbitan sukuk berkaitan kelestarian.

“Trend ini menonjolkan potensi kewangan Islam yang memainkan peranan penting dalam membiayai projek pembangunan mampan di peringkat global dan ekoran itu, pasaran modal Islam (ICM) mesti dipertingkatkan bagi menghadapi cabaran ini.

“Bagi melaksanakannya, kita perlu membina ekosistem ICM yang bertenaga dan teguh yang disokong oleh beberapa elemen utama, termasuk rangka kerja pengawalseliaan yang memudahkan dan kerjasama aktif dalam kalangan pihak yang sehaluan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN