PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melepaskan pegangannya dalam GMR Hyderabad International Airport Limited (GHIAL), syarikat pegangan yang menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad di India kepada GMR Group pada nilai AS$100 juta (RM477.9 juta).
MAHB dalam kenyataannya berkata, keputusan strategik untuk melepaskan keseluruhan 11 peratus pegangannya itu dibuat bersama dengan anak syarikat milik penuhnya, MAHB (Mauritius) Private Limited.
Katanya, Kumpulan memperoleh 11 peratus kepentingan dalam GHIAL daripada GMR Group pada 2009 dengan harga AS$10 juta (RM47.8 juta).
“Sejak pengambilalihan, MAHB Group mengekalkan kepentingan minoriti pasif dalam usaha niaga itu.
“Penjualan ini adalah sebahagian daripada usaha MAHB Group untuk menyelaraskan portfolio pelaburan luar negara dan membuka nilai daripada aset bukan teras, selaras dengan strategi pertumbuhan perniagaan antarabangsa Kumpulan,” katanya.
Kumpulan berkata, hasil daripada pelupusan itu akan dialihkan ke arah tujuan korporat am dan perbelanjaan modal (capex) dalam aset di mana MAHB Group memegang kepentingan yang lebih langsung dan mempunyai kawalan.
Menurutnya, pendekatan pelaburan semula strategik ini merupakan elemen penting dalam strategi pertumbuhan Kumpulan.
Tambahnya, ia membolehkan syarikat mengoptimumkan portfolio pelaburannya dan mengukuhkan kawalan ke atas aset teras, akhirnya membawa kepada nilai jangka panjang yang lebih besar untuk pemegang kepentingan. – UTUSAN










