PETALING JAYA: Momentum jualan automotif Kumpulan UMW terus kukuh pada September 2023 dengan pendaftaran sebanyak 38,223 kenderaan, didorong oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan Perodua yang terus memenuhi pesanan tertunggak mereka.
Prestasi tersebut menjadikan jualan automotif kumpulan meningkat sebanyak 16 peratus pada September kepada 309,738 unit daripada 267,226 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.
UMWT mencatatkan jualan sebanyak 9,228 unit pada September 2023, hampir kepada 9,233 unit yang didaftarkan pada September 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, setakat ini, kedua-dua syarikat terus mencatatkan jualan yang lebih tinggi berbanding dengan tempoh sama tahun lalu.
“Kami yakin kedua-dua syarikat akan mencapai sasaran jualan mereka untuk 2023 berdasarkan tempahan yang tertunggak.
“Jualan automotif pada suku terakhir tahun ini juga akan disokong oleh promosi akhir tahun yang menarik,” katanya dalam kenyataan.
Setakat September 2023, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 76,511 unit, merekodkan pertumbuhan sebanyak 8.0 peratus berbanding 70,872 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama pada 2022.
UMWT mencapai bahagian pasaran sebanyak 13.4 peratus untuk sembilan bulan pertama tahun ini.
Bagi meningkatkan lagi barisan modelnya, UMWT memperkenalkan Toyota Yaris yang dikemas kini pada 18 September 2023.
Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 28,995 unit pada September 2023, iaitu 18 peratus lebih tinggi berbanding 24,626 unit yang direkodkan pada September tahun lalu, melalui peningkatan pengeluaran yang disokong oleh rantaian bekalan yang bertambah baik.
Sehingga bulan lepas, jualan Perodua melonjak kepada 233,227 unit, meningkat 19 peratus daripada 196,354 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Sehubungan itu, Perodua mencapai bahagian pasaran sebanyak 40.8 peratus untuk sembilan bulan pertama 2023 dan model terlaris untuk sembilan bulan ini ialah Bezza, diikuti Axia dan Myvi. – UTUSAN










