PETALING JAYA: Jualan asing bagi ekuiti Malaysia melonjak kepada RM1.16 bilion minggu lepas, daripada RM44.7 juta pada minggu sebelumnya.
Dalam laporan aliran dana mingguannya, MIDF Research berkata, pelabur asing membeli bersih ekuti sebanyak RM20.6 juta pada Isnin lalu, tetapi membuat jualan bersih untuk baki minggu itu termasuk RM39.3 juta pada Selasa, RM397.6 juta (Rabu), RM410. 6 juta (Khamis) dan RM336.3 juta (Jumaat).
“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih bagi minggu itu ialah utiliti (RM86.2 juta), pembinaan (RM41.8 juta) dan hartanah (RM21.9 juta). Manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih adalah perkhidmatan kewangan (RM770.3 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM246.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM159.8 juta).
“Sehingga kini, pelabur asing telah menjual bersih ekuiti RM3.13 bilion di Bursa Malaysia,” katanya.
MIDF Research berkata, institusi tempatan memecahkan jualan bersih selama tiga minggu mereka dengan belian bersih sebanyak RM1.05 bilion, tertinggi dalam tiga tahun sejak minggu 5 Jun 2020, apabila mereka membeli bersih ekuiti sebanyak RM1.18 bilion.
Katanya, setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih RM3.63 bilion ekuiti.
“Ia adalah belian bersih sektor seperti perkhidmatan kewangan (RM678.5 juta), penjagaan kesihatan (RM138.6 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM127.2 juta).
“Peruncit tempatan meneruskan pembelian bersih ekuiti domestik untuk minggu kedua berturut-turut pada RM114.4 juta,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, peruncit tempatan membeli bersih setiap hari kecuali Khamis lepas, manakala jualan bersih sebanyak RM22.6 juta.
Ia berkata, setakat ini, peruncit mencatatkan jualan bersih berjumlah RM508.2 juta.
“Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian dalam kalangan pelabur asing sebanyak 2.4 peratus minggu lepas, dan 3.6 peratus dalam kalangan institusi tempatan, manakala peruncit tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 3.7 peratus,” katanya.
Mengenai senario antarabangsa, MIDF Research berkata, ia adalah minggu yang dipenuhi dengan pergolakan, diterajui oleh penjualan dalam pasaran bon, yang menyaksikan hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertinggi sejak 2007.
Ujarnya, pada masa yang sama, pelabur menunggu dengan teliti untuk senarai gaji bukan ladang AS yang dikeluarkan pada Jumaat.
“Antara 20 indeks global yang kami pantau, 15 mencatatkan penurunan mingguan, manakala empat naik, dengan CSI 300 China menjadi satu-satunya yang kekal tidak berubah.
“Pencapai adalah Indeks Komposit Nasdaq (1.60 peratus), TAIEX (1.02 peratus), S&P 500 (0.48 peratus) dan Sensex (0.25 peratus).
“Penurunan paling ketara ialah Nikkei 225 (2.71 peratus), Kospi (2.29 peratus), dan SET Thailand (2.24 peratus),” katanya. – UTUSAN










