PETALING JAYA: Globonus Sdn. Bhd. menerima empat unit trak MAN TGS ADR baharu dan menempat lima lagi unit terpakai bagi mengukuhkan operasi syarikat berkenaan.
Pembelian yang baharu ini akan menjadikan MAN sebagai jenama trak utama dalam flit kenderaan Globonus, syarikat perkhidmatan logistik dari Kedah, yang sedang pesat berkembang.
Pengarah Eksekutif Globonus, Muhd Jamal Pawanteh berkata, Syarikat memerlukan trak yang berprestasi tinggi dan boleh dipercayai untuk mengangkut pelbagai jenis produk kimia dengan selamat dan mampan ke seluruh Semenanjung Malaysia termasuk merentasi sempadan ke Thailand, pada masa yang sama mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Beliau berkata, selaras dengan komitmen Syarikat terhadap kemampanan dan neutral karbon, enjin Euro V MAN TGS dengan pelepasan yang rendah, membolehkan Syarikat mengurangkan jejak karbon dalam flit kenderaannya dan memenuhi syarat ketat sesetengah klien multinasional syarikat.
“Trak-trak kami berada di jalan raya enam hari seminggu untuk mengangkut produk-produk yang sensitif antaranya urea, cecair ekzos diesel, cecair metanol dan gas ammonia dari pangkalan kami di Gurun sehingga sejauh ke Singapura.
“MAN TGS berkuasa Euro V baharu dengan spesifikasi ADR telah mengatasi jangkaan kami menerusi penggunaan bahan api yang cekap, pelepasan yang rendah dan tempoh ketersediaan yang lebih lama.
“Para pemandu kami teruja dengan kuasa dan tahap pengendalian MAN TGS yang hebat. Sokongan selepas jualan daripada MAN cawangan Prai juga sangat baik,” katanya dalam kenyataan sempena majlis penerimaan trak itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks memuji wawasan Globonus untuk meningkatkan keupayaan kumpulan kenderaan Syarikat dengan MAN TGS berkuasa Euro V.
Beliau berjanji akan memastikan bahawa trak-trak itu disokong oleh operasi Pengurusan Khidmat Pelanggan syarikat yang sentiasa dipertingkatkan.
“Kami gembira mengetahui bahawa pasukan kami di Prai telah dapat memenuhi jangkaan pelanggan. Kami sentiasa berusaha untuk menaik taraf servis kami dengan mengambil lebih ramai juruteknik berkelayakan selain meningkatkan kemahiran mereka dengan latihan MAN Technical.
“Kami juga sedang dalam proses untuk membaharui kumpulan van MAN Mobile Service untuk memastikan respons yang lebih pantas jika berlaku masalah,” katanya. – UTUSAN









