PETALING JAYA: Bursa Malaysia Securities mengumumkan, dagangan sekuriti Boustead Plantations Bhd. (BPlant) digantung mulai 9 pagi ini, sementara menunggu pengumuman lanjut.
Bursa Malaysia Securities berkata, pemberhentian dagangan adalah atas permintaan BPlant.
Menurutnya, dagangan waran berstruktur BPlant juga digantung. Urusniaga terakhir BPlant ditutup pada RM1.27 sesaham semalam.
Sementara itu, dagangan sekuriti dan waran berstruktur Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) turut digantung mulai 9.02 pagi ini, susulan permintaan BPlant untuk penggantungan urusniaganya, menurut pemfailan bursa.
Saham KLK kali terakhir ditutup pada RM21.48 semalam.
Saham Boustead Plantations Bhd. (BPlant) susut sebanyak 27 sen atau 18.49 peratus pada sesi dagangan pagi semalam, menjelang tarikh akhir kedua cadangan pengambilalihan syarikat perladangan milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu oleh Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), pada 6 Oktober ini.
Memetik laporan The Edge, kaunter BPlant adalah paling aktif di Bursa Malaysia, dengan 28.82 juta saham didagangkan.
Kaunter syarikat itu ditutup pada RM1.22 pada pembukaan pasaran tengah hari semalam, turun 24 sen atau 16.44 peratus daripada penutup RM1.46 pada Jumaat lalu, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM2.73 bilion.
Berikutan penurunan mendadak tersebut, Bursa Malaysia telah menggantung jualan Pedagang Harian Proprietari (PDT) dan Jualan Singkat Intra Hari (IDSS) BPlant.
Sementara itu, saham KLK didagangkan tidak berubah pada RM21.40 sesaham pada waktu rehat semalam.
Penjualan itu telah mencetuskan kebimbangan bahawa pengambilalihan oleh KLK mungkin menghadapi halangan. KLK dan LTAT enggan mengulas ketika dihubungi, menurut laporan itu.
Pada 24 Ogos lalu, KLK buat pertama kali mengumumkan rancangan untuk mengambil alih 33 peratus pegangan dalam BPlant daripada LTAT dan Boustead Holdings Bhd. pada harga RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham, dan akan melanjutkan tawaran am mandatori dengan rancangan untuk meningkatkan pegangan kepada 65 peratus. – UTUSAN










