KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menyasarkan 100,000 akaun Perkhidmatan Depositori Pusat (CDS) baharu akan dibuka melalui inisiatif pasaran saham di platform digital Touch ‘n Go (TNG) eWallet untuk tahun pertama pelancarannya.
Inisiatif tersebut akan dicapai melalui pemeteraian memorandum kerjasama (MoC) antara Bursa Malaysia dengan TNG Digital Sdn. Bhd. (TNGD) dan Affin Hwang Investment Bank Berhad (AHIBB).
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, inisiatif yang dijangka dilancarkan pada suku pertama 2024 itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bursa Malaysia untuk mendemokrasikan pelaburan ekuiti dan menggalakkan rangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, Bursa Malaysia percaya pasaran yang inklusif adalah penting untuk masyarakat yang diperkasakan dari segi kewangan.
“Ke arah ini, kami akan terus berinovasi dan memperkenalkan cara baharu untuk pelabur runcit mengambil bahagian dengan yakin dan mendapat manfaat daripada pelbagai peluang yang tersedia dalam pasaran modal Malaysia.
“MoC ini merupakan menunjukkan bagaimana pelbagai pemain industri boleh bekerjasama dan menyumbang ke arah matlamat ini,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani MoC terbabit di Bursa Malaysia, di sini semalam.
MoC itu ditandatangani oleh Muhamad Umar, Ketua Pegawai Eksekutif TNGD, Alan Ni dan Ketua Pegawai Eksekutif AHIBB, Nurjesmi Mohd Nashir, serta disaksikan oleh Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah.
Tambah Muhamad Umar, melalui kerjasama ini, pelabur runcit dapat mengakses rangkaian produk pelaburan lebih luas yang disenaraikan di Bursa Malaysia melalui ciri GOinvest Touch ‘n Go (TNG) eWallet.
Jelasnya, ciri ini akan membolehkan pelabur melabur dengan lancar dan memantau portfolio GOinvest mereka, semuanya dalam satu aplikasi, dengan antara muka mesra pengguna dan langkah keselamatan yang mantap.
Dalam pada itu, AHIBB sebagai rakan kongsi broker akan membantu pelabur dengan menawarkan akses pasaran yang lebih besar, sumber penyelidikan yang komprehensif, data pasaran masa nyata dan responsif. – UTUSAN