PETALING JAYA: Airbus melantik Burhanudin (Burhan) Noordin Ali sebagai Ketua Perwakilan Airbus di Malaysia, berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, menggantikan Raymond Lim yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Khidmat Pelanggan, Asia Pasifik berpangkalan di Singapura.
Burhan akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keseluruhan strategi Airbus, jejak industri, dan segala operasi di dalam negara serta memacu pencapaian polisi “One Roof” syarikat untuk menyepadukan dan menyokong perniagaannya di Malaysia.
Pada masa sama, Burhan juga menyandang jawatan selaku Pengarah Urusan Sepang Aircraft Engineering (SAE), anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Airbus dan berpangkalan di Malaysia.
SAE merupakan pembekal persendirian EASA yang diiktiraf bagi kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) dengan kepakaran dalam bidang pesawat komersil, enjin dan komponen berkaitan.
Burhan akan melapor diri kepada Presiden Airbus, Wilayah Asia Pasifik dan Ketua Jualan Pesawat Komersial, Anand Stanley.
Anand berkata, negara ini merupakan pangkalan utama pelanggan Airbus bagi keseluruhan rantau ini merangkumi perniagaan bagi pesawat komersil, pertahanan, ruang angkasa dan helikopter.
“Kami juga merangka kerjasama industri yang kukuh dengan Malaysia, di mana negara ini berfungsi sebagai pangkalan pembekal terbesar kami di rantau Asia Tenggara.
“Burhan akan mewakili kepentingan luas Airbus di Malaysia dan menyokong perancangan untuk memperkukuhkan kehadiran kami dalam pasaran tempatan,” katanya.
Burhan memiliki lebih 24 tahun pengalaman dalam bidang penerbangan aeroangkasa dan industri pertahanan di Malaysia setelah bekerja dengan pelbagai organisasi tempatan dan multinasional berkaitan.
Beliau mempunyai ijazah sarjana muda dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Strathclyde, Glasgow. – UTUSAN










