PASIR PUTEH: Syarikat pembekalan kontena, BSL Containers Sdn. Bhd.(BSL Malaysia) sedia menjadi pembekal kontena bagi projek minyak dan gas (O&G) pesisir pantai untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Pengarah Urusannya, Fauziah Tranchand berkata, kesediaan itu berpandukan kepada kualiti, reka bentuk, pembuatan dan ujian yang telah dijalankan ke atas kontena keluaran BSL Malaysia dan menepati ciri-ciri pematuhan taraf serta peraturan semasa.
“Keutamaan kami adalah untuk menjadi syarikat pakar dalam membekalkan kontena untuk pelbagai jenis ‘Offshore Containers’ yang mempunyai piawaian dan mematuhi kualiti yang diiktiraf antarabangsa seperti DNV dan UKAS.
“Setakat ini kami mempunyai lebih 50 reka bentuk kontena dan peralatan cari gali minyak dan gas. Insya-Allah dengan kemampuan yang ada, kami yakin mampu memenuhi permintaan berterusan daripada syarikat perkapalan dan cari gali minyak serta gas,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran BSL Malaysia di Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) di sini, semalam.
Mengulas pelancaran cawangan keempat di TBSB, Fauziah memberitahu, pembukaan itu bakal melebarkan lagi sayap perniagaan Syarikat dalam penyediaan kontena.
Katanya, pelaburan itu seiring perkembangan positif industri minyak dan gas yang sedang berjalan ketika ini.
“Situasi itu memberi keyakinan kepada kami untuk meluaskan empayar perniagaan dengan membuka sebuah lagi cawangan di negeri ini khususnya untuk membantu sektor industri bekalan kontena selain membantu memperkukuh lagi pertumbuhan ekonomi setempat.
“Pada masa ini, BSL Malaysia telah beroperasi di tiga lokasi berbeza iaitu di Labuan, Bintulu dan Kemaman. Cawangan di Tok Bali pada masa kini telah menerima lebih 20 tempahan kontena termasuk daripada beberapa pelaksana projek pesisir di Songkla, Thailand,” ujarnya. – UTUSAN










