PETALING JAYA: XOX dan ONEXOX telah melancarkan X-Bike dan X-Truck, tambahan terbaharu kepada sayap perkhidmatan pelanggan syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan XOX, Ng Kok Heng berkata, X-Bike dan X-Truck akan berfungsi sebagai cara untuk memudah serta meringankan beban rakyat dalam mendapatkan talian telekomunikasi dan perkhidmatan data internet pada kadar yang berpatutan dalam jangkauan mereka.
Beliau berkata, pelanggan yang terutamanya tinggal di kawasan terpencil dengan akses terhad ke bandar berdekatan, kini mempunyai pilihan perkhidmatan yang lebih baik untuk mendapatkan keperluan telco dan data mereka tanpa meninggalkan rumah.
“Kami percaya dalam menyediakan perkhidmatan pelanggan 360 darjah dan kemudahan kepada pelanggan, tanpa mengira lokasi mereka.
“Kini, dengan adanya X-Bike dan X-Truck, misi utama kami adalah untuk memastikan tiada sesiapa yang terpinggir dalam mendapatkan keperluan penting, seperti talian mudah alih dan data internet. Teknologi dan perkhidmatan telco seharusnya boleh didapati dengan mudah dan boleh diakses oleh semua orang,” katanya dalam kenyataan.
X-Truck telah diperkenalkan secara rasmi di Stadium Indera Mulia, Ipoh sempena Karnival Anak Muda (KAMU) yang berlangsung dari 15 hingga 17 September 2023.
Kok Heng berkata, produk Kumpulan itu adalah antara produk yang berdaya saing dalam pasaran dengan data dan panggilan tanpa had untuk kedua-dua pelan prabayar dan pascabayar, yang memberikan pelanggan lebih nilai untuk wang mereka.
“Berdasarkan penambahbaikan berterusan yang telah kami laksanakan ke atas produk kami, kami menjangkakan lonjakan permintaan pasaran. X-Bike bersedia untuk memenuhi keperluan yang meningkat ini dengan lebih pantas,” katanya.
X-Bike menyediakan perkhidmatan penghantaran sehingga di hadapan pintu rumah pelanggan. Dengan menggunakan X-Bike, pengedar XOX yang ditugaskan akan menghantar permintaan pesanan pelanggan ke lokasi yang ditetapkan.
Sementara itu, X-Truck ialah peruncitan bergerak di pasaran yang akan banyak digunakan untuk jerayawara (roadshow) dan pelbagai acara di seluruh negara. Ia juga berfungsi sebagai papan tanda jenama bergerak untuk lawatan promosi.
Pada masa ini, sebanyak 50 unit X-Bike dan 5 unit X-Truck sedia untuk bergerak serta menyediakan perkhidmatan mereka meliputi semua negeri di Semenanjung Malaysia.
ONEXOX ialah produk telekomunikasi di bawah XOX, iaitu Operator Rangkaian Maya Mudah Alih Malaysia (MNVO) pertama disenaraikan di Bursa Malaysia dengan 2.5 juta pelanggan. – UTUSAN










