PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), mengeluarkan garis panduan Kelakuan Pasaran dan Amalan Perniagaan bagi Syarikat Broker Saham dan Wakil Berlesen (Garis Panduan SBC) yang disemak semula berkuat kuasa 7 September 2023.
SC dalam satu kenyataan memaklumkan, garis panduan yang disemak semula itu menggariskan keperluan yang membolehkan syarikat broker saham menawarkan perkhidmatan dagangan saham pecahan untuk saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Menurutnya, saham pecahan merupakan bahagian saham yang kurang daripada satu lot dagangan standard di mana ia merupakan salah sebuah inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, awal Jun lalu.
“Dagangan saham pecahan merupakan salah satu inisiatif pasaran modal yang diumumkan Perdana Menteri untuk menjadikan dagangan saham di Bursa Malaysia lebih mudah diakses, mampu milik dan inklusif untuk pelabur runcit, terutamanya pelabur muda.
“Garis panduan yang disemak semula ini mencerminkan komitmen berterusan SC untuk meningkatkan kerancakan pasaran dan menggalakkan penyertaan runcit yang lebih besar dalam pasaran saham Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, dengan membenarkan pelabur runcit berdagang dalam saham pecahan, individu khususnya generasi muda, akan mempunyai lebih kemampuan dan fleksibiliti untuk berdagang dan melabur dalam saham perdana yang lebih mahal, pada nilai lebih kecil daripada nilai lot dagangan standard.
“Selain itu, pengenalan perdagangan saham pecahan akan membolehkan pelabur runcit mempelbagaikan portfolio, sambil mewujudkan pasaran modal yang lebih inklusif untuk semua rakyat Malaysia.
“Untuk menyokong pembangunan teratur pasaran modal, penting bagi syarikat broker saham untuk mempunyai kawalan dan sistem yang diperlukan untuk menjaga kepentingan pelabur,” katanya.
Ujar beliau lagi, antara keperluan utama di bawah garis panduan tersebut ialah keperluan syarikat broker saham melaksanakan sistem, polisi dan prosedur yang mencukupi.
“Ini bagi memastikan layanan adil terhadap pesanan pelanggan, ketelusan harga, dan penyeliaan sewajarnya terhadap perkhidmatan perdagangan saham pecahan,” katanya. – UTUSAN










