WASHINGTON: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan penanda aras kadar faedah, pada masa sama memberi `bayangan’ kos pinjaman mungkin kekal tinggi untuk tempoh lebih lama selepas satu lagi kenaikan tahun ini.
Memetik laporan Bloomberg, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pada Rabu, mengulangi pendirian bahawa Fed akan menentukan “tahap peneguhan dasar tambahan yang mungkin sesuai.”
Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata, pihaknya “bersedia untuk menaikkan lagi kadar jika sesuai, dan kami berhasrat untuk mengekalkan dasar pada tahap yang terhad sehingga kami yakin inflasi bergerak turun secara mampan ke arah objektif kami.”
FOMC mengekalkan julat sasaran untuk kadar faedah Persekutuan pada 5.25 hingga 5.5 peratus, manakala unjuran suku tahunan yang dikemas kini menunjukkan 12 daripada 19 pegawai cenderung untuk satu lagi kenaikan kadar faedah pada tahun ini, bagi memastikan inflasi terus menurun.
“Kami komited untuk mencapai dan mengekalkan pendirian dasar monetari yang cukup untuk menurunkan inflasi kepada sasaran 2 peratus dari semasa ke semasa,” kata Powell pada sidang akhbar berikutan keputusan itu.
Beliau mengulangi kenyataannya bulan lalu bahawa Fed “dengan berhati-hati” menilai data masuk dan prospek serta risiko yang berkembang.
Berdasarkan unjuran baharu, Fed juga melihat kemungkinan kadar faedah `kurang pelonggaran’ pada tahun depan berbanding jangkaan dibuat Jun lalu, mencerminkan kekuatan baharu dalam ekonomi dan pasaran buruh.
Mereka menjangkakan adalah wajar untuk mengurangkan kadar faedah kepada 5.1 peratus menjelang akhir 2024, menurut anggaran median, daripada 4.6 peratus. Fed juga menjangkakan kadar faedah akan turun selepas itu kepada 3.9 peratus pada akhir 2025, dan 2.9 peratus pada akhir 2026.
Selepas menaikkan kadar faedah daripada hampir sifar pada Mac 2022 kepada melebihi 5 peratus pada Mei lalu, tertinggi dalam sejarah, Fed dalam beberapa bulan kebelakangan telah beralih kepada pendekatan menaikkan kadar dengan lebih perlahan.
Langkah baharu ini bertujuan `membenarkan’ data masuk untuk menentukan tahap puncak bagi kadar faedah apabila inflasi menurun ke arah sasaran 2 peratus. Indeks harga pilihan Fed, tidak termasuk makanan dan tenaga, meningkat 4.2 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Julai.
Para pegawai Fed juga terus mengunjurkan inflasi akan jatuh di bawah 3 peratus tahun depan, dan melihatnya kembali kepada 2 peratus pada 2026. Mereka turut menjangka pertumbuhan ekonomi akan perlahan pada 2024 kepada 1.5 peratus selepas menyemak naik pertumbuhan tahun ini kepada 2.1 peratus.
Unjuran yang lebih tinggi untuk kadar faedah sebahagiannya mencerminkan pandangan yang lebih yakin tentang kadar pengangguran. Penggubal dasar kini melihat kadar pengangguran meningkat kepada 4.1 peratus pada 2024, berbanding unjuran awal sebanyak 4.5 peratus.
Powell berkata, keputusan yang dibuat bukanlah asas dasar Fed untuk ekonomi AS, tetapi ia adalah langkah utama untuk membendung inflasi. Mesyuarat Fed seterusnya adalah pada 31 Oktober hingga 1 November 2023. – AGENSI









