PETALING JAYA: Qatar Airways mengumumkan penyambungan semula perkhidmatan harian ke Pulau Pinang bermula 29 Oktober ini.
Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Doha itu dalam kenyataannya berkata, penumpang boleh menantikan laluan menarik itu yang akan beroperasi melalui Phuket, Thailand, di kedua-dua arah.
Katanya, penerbangan harian yang dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 777 akan mengukuhkan lagi komitmen Qatar Airways untuk menyediakan penumpang dengan sambungan yang luar biasa dan perkhidmatan bertaraf dunia.
Naib Presiden Qatar Airways untuk Jualan Asia Tenggara dan Pasifik Barat Daya, Jared Lee berkata, pihaknya teruja untuk menyambung semula perkhidmatan harian ke Pulau Pinang melalui Pulau Phuket.
“Penerbangan ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan penumpang dengan pilihan perjalanan yang lebih besar dan sambungan yang tiada tandingan.
“Sama ada anda melancong untuk perniagaan atau percutian, Qatar Airways berdedikasi untuk memastikan perjalanan yang lancar dan luar biasa untuk semua penumpang kami,” katanya.
Tambahnya, keputusan untuk menyambung semula perkhidmatan ke Pulau Pinang mencerminkan dedikasi Qatar Airways untuk mengembangkan rangkaian globalnya dan menawarkan kepada penumpang lebih banyak pilihan perjalanan ke destinasi popular.
Menurutnya, penumpang boleh merasai pesona Pulau Pinang yang terkenal dengan warisan budaya yang kaya, pantai menakjubkan dan suasana makanan jalanan yang meriah, sambil menikmati sambungan lancar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha.
“Penumpang yang menaiki pesawat Boeing 777 boleh menjangkakan pengalaman dalam penerbangan yang unggul dengan tempat duduk yang luas di kelas perniagaan dan kelas ekonomi,” katanya.
Selain itu, Qatar Airways juga akan meningkatkan penerbangannya ke Kuala Lumpur mulai 15 Disember 2023, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 28 penerbangan mingguan (empat penerbangan harian).
Tambahnya, 14 penerbangan mingguan dikendalikan oleh rakan kongsi kod, Malaysia Airlines, untuk memenuhi permintaan perjalanan masuk dan keluar yang semakin meningkat. – UTUSAN










