PETALING JAYA: Prima Air Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Halim Mazmin Group, mengembangkan perniagaan dalam perkhidmatan pesawat sewa khas eksekutif dengan penerimaan pesawat baharu Piaggio Aerospace P.180 Avanti II.
Perkembangan itu susulan kejayaan syarikat memperoleh Sijil Operator Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Ogos lalu.
Menurut Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Group, Tan Sri Halim Mohammad, P.180 Avanti II ialah pesawat kedua Prima Air selepas menerima pesawat sulungnya, Cessna Grand Caravan EX, pada 2015.
Kata beliau, Piaggio P.180 Avanti II adalah pesawat unik yang menggabungkan kelajuan, prestasi dan keselesaan ibarat jet, tetapi dengan operasi ekonomi setanding turboprop.
“Setelah mengendalikan pesawat enjin tunggal Cessna Grand Caravan EX secara meluas sejak tujuh tahun lalu, kami melihat keperluan pelanggan yang semakin memerlukan julat dan keselesaan yang lebih luas. Oleh itu, kami teruja untuk memperkenalkan pesawat ini,” katanya dalam kenyataan.
Pesawat P.180 Avanti II buatan Itali itu adalah pesawat enjin berkembar yang menempatkan enam penumpang dalam susunan tempat duduk eksekutif.
Dengan jarak penerbangan sehingga 1,200 batu nautika, pesawat P.180 Avanti II akan dapat menghubungkan Lapangan Terbang Subang ke kebanyakan lapangan terbang utama di Semenanjung dan Malaysia Timur serta di negara jiran seperti Bangkok, Thailand; Seletar, Singapura serta Medan dan Jakarta, Indonesia dalam masa terdekat.
“Pesawat kami akan melengkapkan pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang. Kami berharap dapat memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang untuk perkhidmatan pesawat sewa khas eksekutif dengan menyediakan pesawat bersaiz tepat pada harga berpatutan,” kata Halim. – UTUSAN










