PLUS tingkatkan kecemerlangan rakan niaga di kawasan R&R

PLUS tingkatkan kecemerlangan rakan niaga di kawasan R&R

plus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus komited untuk membimbing, memupuk kecemerlangan dan pembangunan rakan-rakan niaga di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pengguna lebuh rayanya.

Langkah ini termasuklah menyediakan pelbagai program seperti Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) yang meliputi bimbingan, latihan, kursus dan seminar dalam meningkatkan kecemerlangan operasi, pengalaman pengguna dan menjana pendapatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihak Kementerian Kerja Raya amat menghargai dan menyokong penuh usaha dan pendekatan yang diambil oleh pihak PLUS dalam membantu rakan niaga untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan tawaran kepada pengguna lebuh raya.

“Fokus utama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah bersama-sama PLUS dalam meningkatkan perkhidmatan terbaik dan mesra rakyat khususnya dari aspek keselesaan kepada pengguna,” tambahnya.

“Selari dengan peredaran masa serta kehendak pengguna lebuh raya hari ini, saya yakin PLUS dapat terus memodenisasikan lebuh raya dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ini dapat direalisasikan dengan menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi komuniti setempat sepanjang lebuh raya, menerusi penyediaan peluang perniagaan, peluang pekerjaan dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kecemerlangan Rakan Niaga MyPLUS, di Persada PLUS hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Sementara itu, Nik Airina berkata, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) merupakan salah satu daripada komponen utama di dalam eko-sistem lebuh raya di negara ini.

“Pada ketika ini, terdapat 520 rakan niaga yang berniaga di 29 R&R, 50 hentian sebelah dan 4 buah restoran jejantas. Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada penduduk komuniti sekitar lebuh raya kendalian kami yang diberikan peluang untuk berniaga dan mengusahakan gerai-gerai makanan, minuman, kraftangan dan sebagainya.

“Pada ketika ini, semua 520 rakan niaga yang beroperasi di kawasan rehat PLUS telah menyertai BPIP dan diberikan pendedahan tentang teknik pengendalian makanan yang lebih baik, pendedahan meluas berkaitan bidang keusahawanan, penyediaan dan keselamatan makanan, pengurusan kewangan dan kredit, pemasaran produk, serta khidmat pelanggan memenuhi kehendak pengguna lebuh raya,” katanya.

Menurutnya, setelah lebih 30 tahun beroperasi, PLUS telah berjaya melahirkan ramai usahawan di kalangan komuniti yang tinggal berhampiran dengan jajaran lebuh rayanya.

Sejak membuka perniagaan di R&R, tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup mereka telah meningkat dan berkembang dengan baik.

Jelasnya, PLUS secara berterusan telah menyediakan pelbagai program dan latihan yang bersesuaian bagi meningkatkan pembangunan dan tahap perkhidmatan rakan-rakan niaga di R&R.

Di antaranya, PLUS telah memperkenalkan BPIP dengan sokongan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Salah seorang  Rakan Niaga di R&R Rawang (Arah Utara), Nor Aman Karap berkata: “Sejak membuka perniagaan di kawasan rehat PLUS, saya telah menghadiri sebanyak empat kursus BPIP anjuran PLUS.

“Sebagai contoh, kami diberi peluang untuk menghadiri seminar bersama AKPK iaitu agensi di bawah Bank Negara Malaysia. Di sini, kami belajar pengurusan kewangan dengan lebih baik dan efisien bagi pengurusan perniagaan.”

Majlis Kecemerlangan Rakan Niaga MyPLUS hari ini turut menyaksikan PLUS mengiktiraf rakan-rakan niaga cemerlang MyPLUS dari wilayah utara, selatan dan tengah.

Pada majlis yang sama, PLUS turut menyampaikan hadiah bagi pemenang Pertandingan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Berhias Terbaik sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Pada pertandingan kali ini, sebanyak 34 kawasan rehat, termasuk hentian sebelah dan restoran jejantas sepanjang Lebuhraya PLUS termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) telah mengambil bahagian.

Kawasan Rehat dan Rawat Pagoh (Arah Utara) yang terletak di KM146.6 di Lebuhraya Utara-Selatan telah dinobat sebagai juara keseluruhan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Sementara itu, Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan) muncul sebagai Naib Juara dan membawa pulang wang tunai RM8,000, manakala R&R Rawang (Arah Utara) berjaya mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang RM6,000.

Sementara itu, R&R Ayer Keroh (Arah Selatan) berada di tempat keempat manakala R&R Tapah (Arah Selatan) di tempat kelima dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM4,000. Bagi Anugerah Khas Juri pula, R&R Sungai Perak (Arah Utara)
berjaya membawa pulang wang tunai RM2,000.

PLUS turut menyampaikan hadiah bagi Hiasan Pejabat Tol dan Pejabat Seksyen PLUS Terbaik sempena Bulan Kebangsaan serta Penyampaian Hadiah Pertandingan InstaFoto #KibaranMalaysiakuGemilang yang dianjurkan di laman Instagram PLUS. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya