Pelancongan domestik meningkat 20 peratus

Pelancongan domestik meningkat 20 peratus

LANGKAWI antara destinasi popular pelancongan di negara ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelancongan domestik meningkat 20 peratus, merekodkan 54.5 juta pelawat pada suku kedua 2023 berban­ding tempoh sama tahun sebe­lumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi tempoh berkenaan, perbelanjaan pelancong domestik berjumlah RM21.9 bilion, meningkat 23.9 peratus tahun ke tahun. Pada 2022, jumlah perbelanjaan pelancongan domestik berjumlah RM64.1 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhan, prestasi pelancongan domestik pada 2022 mencatatkan pertumbuhan positif dengan ketibaan pelawat berjumlah 171.6 juta berbanding 66 juta tahun sebelumnya, peningkatan 160.1 peratus.

“Terimaan pelancongan domestik meningkat 248.1 peratus merekodkan RM64.1 bilion (2021: RM18.4 bilion), pertumbuhan positif selepas penularan pandemik Covid-19.

“Jika dibandingkan dengan tahun 2019 (sebelum pandemik Covid-19), jumlah pelawat domestik menurun sebanyak 28.2 peratus. Perbelanjaan juga susut 37.9 peratus berbanding tahun 2019,” katanya dalam laporan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2022 Mengikut Negeri yang diterbitkan semalam.

Menurut Mohd. Uzir, semua negeri merekodkan peningkatan dari segi volum dan jumlah terimaan selepas pandemik Covid-19.

Katanya, pada tahun lalu, Selangor merekodkan terimaan pelancong domestik tertinggi berjumlah RM8.73 bilion, meningkat 176.5 peratus berbanding RM3.16 bilion tahun sebelumnya.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menerima RM7.73 bilion (2021: RM3.08 bilion), Sarawak (RM5.43 bilion/2021: RM1.94 bilion) dan Pahang (RM5.32 bilion/2021:RM0.91 bilion).

“Membeli-belah merupakan komponen terbesar daripada jumlah terimaan (RM24.94 bilion) bagi semua negeri, diikuti makan dan minuman (bagi 10 negeri), pembelian bahan api kenderaan (bagi lima negeri) dan pengangkutan (bagi Wilayah Perkutuan Labuan).

“Melawat saudara & rakan-rakan adalah tujuan utama perjalanan bermalam domestik untuk semua negeri kecuali Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan. Percutian/ riadah/ rehat adalah tujuan utama pelancong domestik melancong untuk ke­dua-dua negeri tersebut,” katanya.

Jelas beliau, purata bilangan hari menginap (ALOS) adalah 2.55 malam, meningkat 16.6 peratus berbanding 2.19 malam pada 2021. Negeri yang melebihi ALOS peringkat nasional ialah Wilayah Persekutuan Labuan (3.67 malam), Sarawak (3.52 malam), Kelantan (3.16 malam), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.09 malam).

Mohd.Uzir berkata, berda­sarkan profil sosial & demografi pelawat domestik, sembilan negeri menerima majoriti pelawat domestik berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan, sementara lima negeri pula mencatatkan peratusan tertinggi pelawat domestik daripada isi rumah berpendapatan RM1,001 hingga RM3,000 sebulan dan Pulau Pinang (RM3,001 hingga RM5,000). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×