PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata, saluran tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia kekal sihat dan menjangka akan terdapat sejumlah 35 hingga 40 IPO baharu pada tahun ini.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, SC berusaha untuk mempercepatkan proses IPO dan mengurangkan masa untuk ke pasaran bagi memastikan daya saing dan daya tarikan negara.
“Malaysia akan memudahkan lagi syarikat-syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dan menarik lebih banyak pelabur,” katanya pada sesi panel bertajuk ‘Ketahanan Makro dan Pandangan Pasaran’ pada Invest Malaysia New York 2023 anjuran Bursa Malaysia, kelmarin.
Forum itu dihadiri oleh lebih 200 wakil dari komuniti kewangan dan pelaburan termasuk pelabur pendapatan asing tetap, ekuiti dan ekuiti swasta dengan Aset di Bawah Pengurusan (AUM) berjumlah lebih AS$40 trilion (RM188 trilion).
Dalam kenyataan jelas kepada pengurus dana asing, Awang Adek berkata, pasaran modal Malaysia kekal teguh dengan jumlah dana dikumpulkan mencapai paras tertinggi dalam 10 tahun berjumlah RM179.4 bilion (AS$40.8 bilion) pada 2022, walaupun menghadapi cabaran global.
Katanya, jumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran ekuiti dan bon korporat mencapai RM58.9 bilion (AS$13.1 bilion) untuk enam bulan pertama tahun ini.
“Ini menunjukkan pasaran ekuiti dan bon tetap menjadi sumber pembiayaan yang penting untuk sektor swasta,” katanya.
Awak Adek berkata, asas-asas pasaran masih kukuh dengan Malaysia mempunyai tawaran nilai yang kuat bagi syarikat asing dengan infrastruktur yang kukuh dan bakat tempatan yang berkualiti.
Beliau turut memaklumkan bahawa, Malaysia sedang mengambil langkah-langkah dalam meningkatkan kerancakan pasaran dan akses pelabur kepada pasaran modal negara.
Kata beliau, pasaran modal Malaysia, antara yang terbesar di ASEAN akan dipertingkatkan untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi, rangkuman dan kemampanan yang lebih besar bersama Malaysia MADANI.
Katanya, beberapa inisiatif pasaran modal telah diumumkan untuk meningkatkan kerancakan pasaran dan meningkatkan akses pelabur antaranya pemindahan automatik PLC yang layak daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Inisiatif lain pengurangan duti setem, membolehkan perdagangan bahagian sama oleh pelabur melalui broker saham dan memperkenalkan rangka kerja Skim Pengecualian Asing.
Menurut Awang Adek, kecairan dalam negara kekal kukuh dengan penyertaan runcit tempatan dan asing yang sihat sepanjang Covid-19.
Katanya, pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih pada 2022 untuk kali pertama sejak 2017, sementara pelabur asing juga telah menjadi pembeli bersih di pasaran bon pada 2023 dan sehingga kini mencatatkan aliran masuk sebanyak RM27.4 bilion pada Ogos 2023.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan ucaptama pada forum anjuran Bursa Malaysia itu.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Peagwai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift adalah antara ahli panel lain dalam sesi yang sama. – UTUSAN










