WASHINGTON: Penyelidik ekuiti tenaga di JPMorgan memberi amaran bahawa harga minyak mentah Brent boleh terus melonjak sehingga AS$150 setong menjelang 2026.
Brent pada Jumaat lalu didagangkan sekitar AS$93.55 setong.
Dalam laporan penyelidikan terbaharu, Ketua Penyelidikan Ekuiti Tenaga EMEA JPMorgan, Christyan Malek menjangkakan harga minyak mentah itu akan berlegar antara AS$90 hingga AS$110 setong tahun hadapan, malah boleh meningkat lebih tinggi daripada itu pada 2025.
“Pakai tali pinggang keledar. Ia akan menjadi kitaran `super’ yang sangat tidak menentu,” kata Malek kepada Bloomberg pada Jumaat.
Penganalisis itu memberi amaran tentang pemotongan pengeluaran OPEC dan kekurangan pelaburan dalam pengeluaran minyak baharu.
Februari lalu, JPMorgan berkata, harga minyak tidak mungkin mencapai $100 setong tahun ini melainkan terdapat beberapa peristiwa geopolitik utama yang membingungkan pasaran.
Ia turut memberi amaran bahawa OPEC+ boleh menambah sebanyak 400,000 tong sehari (bpd) kepada bekalan global, dengan eksport minyak Russia berpotensi pulih menjelang pertengahan tahun ini.
Pada masa itu, JPMorgan menganggarkan sebanyak 770,000 bpd dalam pertumbuhan permintaan dari China—kurang daripada apa yang dianggarkan oleh IEA dan OPEC.
Bagaimanapun, JPMorgan kini melihat ketidakseimbangan bekalan dan permintaan global pada 1.1 juta bpd pada 2025.
Firma itu bagaimanapun menjangkakan akan berlaku defisit sebanyak 7.1 juta bpd pada 2030 apabila permintaan terus kukuh berbanding bekalan yang terhad. – AGENSI










