OPR 3.00 peratus – BNM

OPR 3.00 peratus – BNM

SEKTOR pelancongan negara diunjur terus berkembang dan memacu pertumbuhan ekonomi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Menurut kenyataan BNM, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya, semalam.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan de­ngan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

Tambahnya, perdagangan global juga terjejas disebabkan peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik ( E&E).

“Pertumbuhan di China yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menjejaskan ekonomi global. Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun. Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi tersebut masih mele­bihi purata jangka panjang.

“Pendirian dasar monetari ba­gi kebanyakan bank pusat dijang­ka kekal ketat,” ujarnya.

Bank Pusat berkata, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutama­nya oleh momentum ekonomi negara maju yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, kete­gangan geopolitik yang semakin me­runcing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

Jelasnya, pada suku kedua 2023, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah terkesan akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam nege­ri yang berdaya tahan dalam keada­an persekitaran luaran yang mencabar.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus mening­kat,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN