PETALING JAYA: Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030 dijamin tidak menjejaskan kepentingan pelaburan langsung domestik (DDI), menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurut beliau, buktinya, walaupun dasar liberalisasi dilaksanakan, DDI sentiasa mendominasi pelaburan yang diluluskan.
“Sebagai contoh, dalam tempoh 10 tahun dari 2012 hingga 2021, DDI yang diluluskan adalah sebanyak RM1.3 trillion atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan,” katanya dalam kiriman video Facebook, semalam.
Ia bagi menjawab isu yang dibangkitkan mengenai kekhuatiran NIMP 2030 yang mungkin menyebabkan modal asing mendominasi pegangan ekuiti tempatan dengan mengambil contoh Tesla.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kemasukan Tesla adalah melalui program Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV GLI) yang direka untuk menarik pembuat kenderaan elektrik (EV) eksklusif ke negara ini.
“Kehadiran Tesla dapat memupuk keyakinan pengeluar peralatan asal (OEM) lain utk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi teknologi itu.
“Ini tentu sekali akan memberi kesan limpahan positif ke atas ekonomi negara. Kita telah memerhatikan negara-negara seperti China, Hong Kong dan Norway, kemasukan Tesla telah mempercepatkan peralihan negara berkenaan kepada EV.
“Apabila ini berlaku, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV,” ujarnya.
Tegasnya, dalam menjana kepentingan tempatan, kehadiran Tesla ke Malaysia bukan sahaja menjual kereta, malah banyak syarat yang dikenakan kepada gergasi automotif tersebut untuk menjaga kepentingan tempatan.
Sebagai contoh, katanya, Tesla disyaratkan memasang sejumlah besar pengecas pantas DC (arus terus) yang sebahagiannya adalah untuk kegunaan jenama kereta selain Tesla.
“Tesla juga mesti menggaji dan melatih rakyat Malaysia, di mana jumlah tenaga kerja syarikat itu mestilah sekurang-kurangnya 80 peratus warga negara Malaysia.
“Selain itu, syarikat juga mesti bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 pusat pengajian tinggi atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pemindahan pengetahuan.
“Syarikat itu juga mesti bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dan menggunakan kontraktor tempatan untuk rangkaian pengecasan tempatan. Ini memastikan Malaysia dapat manfaat secara meluas daripada kehadiran mereka,” katanya. – UTUSAN