PETALING JAYA: Kerajaan berkemungkinan terpaksa menghentikan pemberian subsidi sekiranya harga minyak Brent meningkat ke tahap yang lebih tinggi di samping pertambahan kos mengimport bahan bakar berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKMM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, peningkatan harga brent dan kos mengimport bakal menambah perbelanjaan kerajaan bagi menanggung subsidi.
Beliau bagaimanapun, enggan meletakkan sebarang ang ka bagi anggaran harga brent setong yang boleh mendorong kerajaan memansuhkan pemberian subsidi bahan bakar itu.
“Perbelanjaan kerajaan mungkin akan bertambah sekiranya import minyak melebihi daripada eksport apabila harga brent meningkat pada tahap lebih tinggi berbanding sekarang (AS$90 (RM419.50) setong).
“Jadi mana-mana negara yang tiada pengeluaran minyak sendiri atau bergantung besar kepada import minyak sudah tentu akan merasa kesan yang ketara jika ia terus naik,” katanya.
Tambah beliau, kebiasaannya negara-negara pengimport brent akan melaksanakan hedging bagi mengurangkan risiko kenaikan harga bahan bakar berkenaan dengan perubahan nilai pertukaran mata wang asing.
Ditanya sama ada harga brent akan terus meningkat selepas kenaikan AS$1.04 atau 1.2 peratus kepada AS$90.04 semalam, buat kali pertama dalam tempoh 10 bulan sejak November, beliau berkata, ia bergantung kepada pelbagai faktor.
“Biasanya harga minyak dunia berubah-ubah bergantung kepada beberapa faktor seperti pengeluaran minyak dunia atau negara serta keadaan ekonomi dan politik semasa,” katanya.
Mengikut laporan, jumlah perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM66.3 bilion termasuk subsidi petrol, diesel dan LPG.
Terdahulu, minyak Brent meningkat melepasi AS$90 (RM419.50) setong buat kali pertama dalam tempoh 10 bulan sejak November, apabila pengeluar utama OPEC+ melanjutkan pemotongan bekalan yang telah mengetatkan pasaran minyak mentah.
Memetik laporan Bloomberg, Arab Saudi melanjutkan pemotongan pengeluaran unilateralnya selama tiga bulan lagi ketika kerajaan itu berusaha untuk menyokong pasaran global yang rapuh.
Langkah itu katanya, akan mengekalkan pengeluaran pada kira-kira sembilan juta tong sehari, paras terendah dalam beberapa tahun.
Russia pula berkata, negara itu akan mengurangkan 300,000 tong sehari eksport hingga akhir tahun, sejajar dengan tindakan Riyadh.
“Peningkatan terkini minyak mentah telah didorong terutamanya oleh pengurangan pengeluaran dari Arab Saudi dan Russia yang telah membantu menguras inventori global,” jelas laporan itu.
Tambahnya, pemulihan dalam salah satu komoditi paling penting di dunia itu mungkin merumitkan tugas yang dihadapi oleh bank-bank pusat terkemuka kerana ia boleh menambah kejutan baharu kepada tekanan inflasi.
Sementara itu, data di laman sesawang oilprice.com menunjukkan kontrak hadapan untuk Oktober Brent berada pada paras 90.03 setong, jatuh 0.01 peratus setakat pukul 12.35 tengah hari, sebelum jatuh lagi ke paras AS$89.42 setakat pukul 5.57 petang. – UTUSAN










