MISC, Nissen Kaiun meterai perjanjian jual sewa

MISC, Nissen Kaiun meterai perjanjian jual sewa

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara MISC dan Nissen Kaiun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MISC Berhad (MISC) memeterai perjanjian perkongsian baharu dengan pemilik kapal Jepun, Nissen Kaiun Co., Ltd. (Nissen Kaiun) untuk penjualan dan penyewaan dua pembawa gas asli cecair (LNG) sedia ada.

Di bawah perjanjian tersebut, MISC akan memindahkan pemilikan pembawa LNG kepada Nissen Kaiun dan pada masa yang sama memeterai perjanjian sewa dengan Eaglestar dan Synergy Marine sebagai pengurus kapal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Kapten Rajalingam Subramaniam berkata, transaksi strategik itu bukti komitmen MISC untuk meningkatkan fleksibiliti kewangan dan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan dinamik industri yang berkembang.

Katanya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada strategi perniagaan MISC 2030 untuk membuka kunci nilai, memaksimumkan pulangan daripada portfolio gas, sambil mengembangkan skala komersial dan operasi untuk segmen perkapalan.

“Saya gembira kerana kami dapat menjalin perkongsian ini dengan Nissen Kaiun dan berharap mengembangkan kerjasama ini untuk potensi perniagaan semasa dan masa hadapan.

“Terima kasih kepada ahli pasukan dalam Kumpulan MISC termasuk Eaglestar, Nissen Kaiun, dan Synergy Marine kerana menjayakan perkongsian dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden Nissen Kaiun, Kapten Katsuya Abe berkata, pihaknya berbangga dan teruja untuk memulakan perniagaan penyewaan kali pertama bagi pengangkut LNG untuk MISC.

“Dengan sokongan daripada Synergy Group dan Eaglestar, kami akan berusaha untuk menyediakan operasi selamat sebagai pembawa LNG.

“Berikutan langkah pertama yang tidak dapat dilupakan ini, kami berharap dapat mengembangkan hubungan dengan MISC dalam pembawa LNG dan segmen lain juga,” ujarnya.

Kapal pertama daripada dua kapal itu dijangka dihantar ke Nissen Kaiun pada suku keempat tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN