PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent naik ke paras tertinggi baharu dalam tempoh lebih 10 bulan hari ini, didorong oleh kebimbangan jangkaan bekalan global yang lebih ketat dan gangguan bekalan di Libya.
Setakat pukul 6 petang ini, harga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.16 peratus kepada AS$92.60 (RM432.82), sementara WTI pula naik 0.23 peratus kepada AS$89.39 (RM417.81) setong.
Menurut laporan Reuters, penanda aras kedua-dua minyak mentah itu menokok kira-kira 2 peratus dari semalam, paras tertinggi sejak November 2022.
Penganalisis komoditi di Rakuten Securities, Satoru Yoshida berkata, pasaran kembali berlegar-legar didorong oleh unjuran permintaan oleh OPEC dan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS mengenai inventori bekalan, sekali gus memberi tekanan kepada pasaran.
Beliau berkata, berita mengenai anggota OPEC, Libya menutup empat terminal eksport minyaknya di timur negara itu disebabkan ribut, turut mendorong kenaikan harga bahan bakar itu.
“Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya mungkin terhad kerana terdapat juga tekanan menurun daripada kebimbangan yang berlarutan terhadap permintaan yang lebih lemah di China,” kata Yoshida.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berpegang pada unjurannya untuk pertumbuhan kukuh dalam permintaan minyak global pada 2023 dan 2024, mengambil kira tanda-tanda ekonomi utama dunia yang lebih baik daripada dijangkakan meskipun menghadapi masalah kadar faedah dan inflasi yang tinggi.
Sementara itu, EIA berkata, inventori minyak global dijangka merosot hampir setengah juta tong sehari pada separuh kedua 2023, menyebabkan harga minyak meningkat dengan Brent berpurata AS$93 (RM434.69) setong pada suku keempat.
Stok minyak mentah AS, penyulingan dan petrol turut meningkat minggu lalu, menurut sumber pasaran yang memetik angka Institut Petroleum negara itu.
Stok minyak mentah AS meningkat kira-kira 1.2 juta tong pada minggu berakhir 8 September lalu, berbanding anggaran penganalisis. Inventori petrol meningkat pula kira-kira 4.2 juta tong, manakala inventori sulingan meningkat kira-kira 2.6 juta tong. – UTUSAN










