PETALING JAYA: Mercury Securities Group Berhad (Mercury Securities), memulakan penampilannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities), dibuka pada RM0.27 sesaham yang mewakili premium sebanyak 8 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.25 sesaham.
Mercury Securities ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan dan melalui anak syarikat milik penuhnya, Mercury Securities Sdn. Bhd. terlibat dalam penyediaan pembrokeran saham, khidmat nasihat kewangan korporat dan perniagaan lain yang berkaitan seperti perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin, perkhidmatan taja jamin dan penempatan, serta penyediaan penama dan perkhidmatan penjaga.
Kumpulan memperoleh sejumlah RM39.27 juta melalui IPO, di mana RM26.86 juta daripada hasil itu diperuntukkan untuk perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin.
“Sebanyak RM2.88 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan program pendigitalan dan aktiviti pemasaran untuk perniagaan pembrokeran saham dan operasi Kumpulan. RM4.63 juta daripada hasil itu akan digunakan untuk tujuan modal kerja manakala baki RM4.90 juta diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan pula berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Securities atas pengawasan berterusan mereka terhadap pasaran modal kami.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Mercury Securities dan kumpulan kerja ketekunan wajar atas kerja keras mereka dalam menjayakan hari ini.”
Selepas penyenaraian di Pasaran ACE, Mercury Securities akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM223.25 juta berdasarkan harga terbitan RM0.25 sesaham dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 893.00 juta saham. – UTUSAN











