PETALING JAYA: Terbitan sukuk global pada tahun lalu mencatatkan penurunan kecil 3.0 peratus kepada AS$183 bilion (RM857.29 bilion) daripada tahun sebelumnya, menyaksikan kelaziman sukuk kadar keuntungan tetap dan peningkatan bahagian sukuk berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Malaysia terus mengekalkan kedudukan teratasnya dari segi terbitan diikuti Arab Saudi, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye, menurut laporan Sukuk terkini oleh Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM).
Walaupun bidang kuasa baharu terus memasuki pasaran, laporan itu menyatakan terbitan sukuk masih kekal agak tertumpu dengan sekitar 93.6 peratus daripada sukuk terkumpul berjumlah AS$794 bilion (RM3,719.61 bilion) dimiliki oleh segelintir pasaran utama iaitu Malaysia, Indonesia, GCC dan Turkiye.
Ketua Pegawai Eksekutif IIFM, Ijlal Ahmed Alvi berkata, trend terbitan sukuk pada kadar keuntungan tetap dijangka berterusan memandangkan asas pelabur jauh lebih pelbagai berbanding tahun-tahun awal terbitan sukuk ketika pelabur umumnya merupakan institusi kewangan.
“Sukuk yang diterbitkan pada kadar keuntungan tetap menyediakan lebih banyak peluang dagangan dan membantu pembangunan pasaran sukuk sekunder.
“Bagaimanapun, peningkatan berterusan dalam kadar penanda aras di peringkat global mengekalkan aktiviti pasaran sekunder pada paras yang agak rendah berbanding persekitaran tahun-tahun sebelumnya yang rendah,” katanya dalam nota taklimat mengenai laporan itu.
Mengenai perkembangan dalam pasaran sukuk, Ijlal berkata, sukuk berkaitan ESG kini kerap dikeluarkan sebagai tema utama dalam beberapa bidang kuasa penerbitan sukuk.
“Pada 2022, jumlah terbitan sukuk ESG adalah sekitar AS$8.80 bilion (RM41.22 bilion) manakala mengikut anggaran pasaran, jumlah tertunggak telah melepasi AS$30 bilion (RM140.54 bilion) menjelang pertengahan 2023.
“Dari segi mencapai kepelbagaian dalam jenis terbitan sukuk, adalah penting bagi peserta pasaran terus berusaha dalam meningkatkan ‘jumlah yang sangat kecil hingga boleh diabaikan’ sukuk berdasarkan aset yang dikeluarkan setakat ini.
“Bagi membolehkan pasaran yang disokong aset bergerak, adalah penting untuk menangani isu seperti ketersediaan aset boleh pindah sepenuhnya, isu penstrukturan dan cabaran undang-undang terutamanya keperluan pemindahan hak milik dan pengurusan risiko aset asas perlu ditangani,” katanya.
Ijlal menambah, satu lagi perkembangan yang dialu-alukan, khususnya dari Indonesia, ialah terbitan sukuk oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di platform crowdfunding oleh pelbagai syarikat kecil.
“Penerbitan Sukuk Berkait Wakaf dari Indonesia juga merupakan langkah penting dalam penggunaan hasil untuk tujuan mulia,” katanya.
IIFM ialah badan penetapan piawaian global industri perkhidmatan kewangan Islam (IFSI) yang memfokuskan pada penyeragaman kontrak kewangan dan templat produk patuh syariah. – UTUSAN










