RAWANG: Sebanyak 11,449 unit rumah mampu milik telah dibangunkan oleh syarikat hartanah Bumiputera, M K Land Holdings Berhad (M K Land) di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, sejak 1996.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M K Land, Datuk Faris Yahaya berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 400 unit merupakan Rumah SelangorKu manakala bakinya pula merupakan rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kos sederhana.
Menurut beliau, kesemua rumah mampu milik berkenaan melibatkan pembangunan tanah sebanyak 518 ekar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM680 juta.
“M K Land telah mula meneroka potensi dan sekali gus merintis pembangunan di kawasan ini seawal tahun 1995 lagi dengan membangunkan projek perumahan kos rendah, Apartment Kenanga di Bukit Beruntung.
“Tahun demi tahun, kami terus komited, mengorak langkah ke hadapan, membangunkan pelbagai projek kediaman, sama ada rumah mampu milik termasuk Rumah Selangorku dan harga bebas serta lot komersil untuk manfaat penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Rumah Selangorku jenis Aster fasa tiga di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung yang disempurnakan oleh Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama Pengerusi Eksekutif M K Land, Felina Mustapha Kamal.
Beliau berkata, dianggarkan lebih 40,000 penduduk telah mendiami kawasan pembangunan oleh M K Land di Taman Bukit raya melibatkan lebih lebih 11,000 unit apartment sejak 1996 sehingga kii.
Katanya, M K Land menjangkakan jumlah tersebut bakal bertambah sehingga 70,000 penduduk menjelang lapan ke 10 tahun lagi dengan beberapa projek perumahan yang sedang dan bakal dilancarkan oleh syarikat berkenaan.
“Apa yang lebih manis, terdapat ramai pembeli rumah projek perumahan terbaharu kami pada hari ini terdiri daripada generasi kedua di mana ibu bapa mereka merupakan pelanggan M K Land pada 20 ke 25 tahun yang lalu.
“Selain itu, lebih 70 peratus pembeli kediaman yang dibangunkan oleh M K Land adalah mereka yang mempunyai pekerjaan di sekitar Bukit Beruntung dan Rawang memandangkan ia merupakan kawasan industri automotif, manakala bakinya bekerja di sekitar ibu negara,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran Rumah Selangorku jenis Aster fasa tiga di Taman Bunga Raya, Faris berkata, sebanyak 101 unit rumah habis terjual dalam tempoh tiga jam sahaja.
Ujar beliau, kejayaan itu membuktikan pembeli di atas kemampuan dan kredibiliti M K Land merentasi zaman, sebagai sebuah syarikat pemaju perumahan bumiputera yang menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi, dan juga berdaya saing serta disegani di pasaran hartanah tempatan.
“Semua projek terbaru M K Land mematuhi piawaian mutu pembinaan Qlassic untuk memastikan produk yang ditawarkan bermutu tinggi selaras kehendak pembeli kami,” katanya. – UTUSAN