Kewangan berasaskan nilai pemangkin pertumbuhan mampan

Kewangan berasaskan nilai pemangkin pertumbuhan mampan

SHAIK Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (dua kanan) melakukan gimik Perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-18 (KLIFF 2023) di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kewangan berasaskan nilai boleh menjadi pemangkin yang kukuh untuk pertumbuhan dan pembangunan yang mampan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, dengan mengutamakan nilai dalam sistem kewangan, semua pihak boleh meningkatkan matlamat kewangan dan mewujudkan sistem kewangan yang lebih berkekalan.

Beliau berpendapat, terdapat dua asas penting bagi sektor kewangan Islam untuk memberikan impak yang lebih ketara melalui kewangan berasaskan nilai.

“Pertama ialah membuka kunci inovasi berkesan untuk transformasi ekonomi dan kemampanan. Kedua adalah menggandakan pelaksanaan kewangan berasaskan nilai.

“Ini juga merupakan seruan untuk bertindak bagi komuniti kewangan untuk mengambil alih kepimpinan yang lebih baik dalam memangkin pertumbuhan mampan negara kita dan seterusnya,” katanya dalam ucaptama Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-18 (KLIFF 2023) di Royale Chulan Kuala Lumpur di sini.

Beliau berkata, perubahan langkah dalam “tone at the top” (nada dari atas) adalah penting untuk mewujudkan kesan domino tindakan positif yang meresap ke seluruh institusi.

Menurutnya, ini meliputi nilai dari korporat kepada strategi dan operasi perniagaan, tingkah laku perniagaan, pengukuran prestasi dan juga kesan pelaporan.

“Perubahan holistik ini mesti dipacu daripada bilik lembaga pengarah dengan kesan melata ke barisan hadapan agar impak positif dapat dirasai oleh pelanggan dan pemegang kepentingan yang lebih luas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed turut memuji industri dalam meneruskan usaha mempertingkatkan inisiatif myWakaf dengan penyertaan tambahan Bank Islam dan Majlis Agama Islam Negeri di bawah myWakaf 2.0 yang dilancarkan pada majlis yang sama.

“Dengan tumpuan yang lebih tajam terhadap pemerkasaan komuniti dan ekonomi serta mekanisme pemantauan yang lebih terkoordinasi, myWakaf mempunyai potensi besar untuk memacu pembangunan sosio-ekonomi negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN