PETALING JAYA: Jualan kenderaan di Malaysia pada Ogos 2023 meningkat enam peratus kepada 71,745 unit daripada 67,609 unit yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Menurut persatuan itu, jualan kenderaan penumpang naik sebanyak 64,633 unit pada Ogos 2023 daripada 60,725 unit pada bulan sama 2022, manakala jualan kenderaan komersial turut meningkat kepada 7,112 unit daripada 6,884 unit.
Bagi lapan bulan pertama tahun ini, jualan melonjak kepada 501,552 unit daripada 449,289 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah jualan kenderaan penumpang naik kepada 449,233 unit berbanding 399,051 unit pada tempoh sama 2022 dan kenderaan komersial sebanyak 52,319 unit berbanding 50,238 unit tempoh sama 2022.
“Jumlah jualan lapan bulan pertama 2023 adalah 12 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama 2022. Jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan dikaji adalah 13 peratus lebih tinggi daripada Julai 2023 iaitu pada 63,676 unit.
“Pertumbuhan kukuh yang dicatatkan didorong oleh prestasi keseluruhan yang lebih baik, rantaian bekalan yang bertambah baik dan juga kempen promosi Hari Kebangsaan oleh beberapa syarikat kereta,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi jumlah pengeluaran, MAA berkata, sebanyak 67,912 kenderaan dikeluarkan pada Ogos 2023, jatuh berbanding 69,378 unit bulan sama tahun lalu.
Katanya, pengeluaran kenderaan penumpang turun sebanyak 63,242 unit pada bulan dikaji berbanding 64,282 unit pada Ogos tahun lalu, manakala pengeluaran kenderaan komersial sebanyak 4,670 unit daripada 5,096 unit sebelumnya.
Sementara itu, MAA mengunjurkan jualan bagi bulan ini adalah pada paras yang sama dengan Ogos 2023. – UTUSAN










