Import produk makanan 2022 bernilai RM75.6 bilion

Import produk makanan 2022 bernilai RM75.6 bilion

KELAPA kategori buah-buahan paling banyak digunakan oleh penduduk negara ini tahun lalu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia meng­import RM75.6 bilion produk makanan berbanding eksport RM44.6 bilion pada 2022, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan yang tinggi dalam import berban­ding eksport, telah mendorong peningkatan defisit perdaga­ngan produk makanan berjumlah RM31.0 bilion, 24.3 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, import makanan terkumpul Malaysia bagi tempoh lima tahun (2018-2022) berjumlah RM296.4 bilion, meningkat 31.8 peratus berbanding lima tahun sebelumnya (2013-2017: RM224.9 bilion).

Katanya, lapan item pertanian terpilih merekodkan kadar kebergantungan import (IDR) melebihi 50 peratus iaitu da­ging kambing/bebiri (91.5 peratus); daging lembu/kerbau (85.6 peratus); halia (85.6 peratus), mangga (79.7 peratus), cili(74 peratus), sotong (70.6 peratus), susu segar (63.6 peratus) dan kobis bulat (55.5 peratus).

“Pada masa sama, disebabkan ketidaksesuaian iklim mendorong negara untuk terus mengimport produk pertanian seperti bawang besar, bawang kecil, bawang putih dan epal,” katanya dalam kenyataan bagi Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih 2018-2022, semalam.

Menurut Mohd. Uzir, nilai IDR yang tinggi menunjukkan negara sangat bergantung kepada import komoditi pertanian.

“Walaupun Malaysia mengeluarkan hasil pertanian sendiri, namun negara masih bergantung kepada import daripada negara luar bagi beberapa item,” jelasnya.

Dalam pada itu, penggunaan per kapita (PCC) beras yang merupakan makanan asasi negara, terus menunjukkan trend penurunan dengan PCC seba­nyak 77.0 kilogram (kg), berbanding 79.5 kilogram pada 2021.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia turut me­nunjukkan, kelapa merupakan kate­gori buah-buahan yang pa­ling banyak digunakan oleh penduduk negara ini dengan PCC 24.2 kilogram, diikuti durian sebanyak 12.4 kilogram dan nanas 12.2 kilogram.

“PCC tertinggi sayur-sayuran terpilih adalah kobis bulat de­ngan 7.6 kg/tahun, meningkat 1.0 kilogram berbanding 2021. Ini diikuti oleh sawi dan tomato dengan masing-masing seba­nyak 4.5 dan 4.4 kg/tahun,” katanya.

Bagi komoditi ternakan pula, PCC daging ayam adalah yang tertinggi sebanyak 48.0 kilogram setahun, meningkat 2.0 kilogram daripada 2021.

PCC terendah komoditi ternakan ialah daging kambing/bebiri dengan 1.4 kg/tahun, meningkat 0.4 kilogram berbanding tahun sebelumnya. PCC mackerel dan udang adalah yang tinggi di antara perikanan terpilih iaitu 6.0 dan 4.2 kg/tahun. PCC pari dan ketam pula adalah terendah iaitu 0.4 kg/tahun.

Berdasarkan laporan itu, Mohd. Uzir Mahidin berkata, Malaysia mencapai Kadar Sara Diri (SSR) bagi hanya 23 item pertanian terpilih dengan betik merekodkan SSR tertinggi 142.3 peratus, diikuti tembikai (131.9 peratus) dan belimbing (120.2 peratus).

“Tujuh jenis sayuran terpilih adalah mencukupi bagi keperluan domestik iaitu tomato sebanyak 118.0 peratus, timun (110.6 peratus), bayam (109.6 peratus), salad (107.3 peratus), kacang panjang (106.6 peratus), terung (106.6 peratus) dan bendi (103.4 peratus).

“Pada masa sama, penawaran tebu dan ubi kayu bagi tanaman lain terpilih juga mencukupi dengan masing-masing mencatatkan SSR 144.6 dan 100.5 peratus,” kata beliau.

Komoditi ternakan yang merekodkan SSR melebihi 100.0 peratus pada 2022 pula adalah daging itik dan telur ayam/ itik. Daging itik merekodkan SSR tertinggi iaitu 130.2 peratus dan telur ayam/ itik (108.9 peratus).

Sementara itu, hanya empat item perikanan merekodkan SSR 100.0 peratus dan lebih iaitu siakap (116.5 peratus), keli (102.2 peratus), tuna (100.9 peratus) dan patin (100.0 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN