PETALING JAYA: Proses pengambilan tanah untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 665 kilometer (km) kini telah 93 peratus siap, menurut Pengurus Besar Unit Perniagaan Kereta Api China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC), Zhang Wenfeng.
Beliau berkata, sebanyak tujuh peratus bahagian yang belum disiapkan itu membabitkan Seksyen C jajaran rel, iaitu di Selangor.
“Tujuh peratus itu bukanlah jumlah yang besar. Namun, jika berlaku kelewatan (pengambilan tanah), ia akan menjejaskan tempoh siap. Jika tidak, projek itu boleh disiapkan tepat pada masanya,” katanya kepada pemberita Malaysia dalam temu bual khas di Beijing, baru-baru ini, menurut laporan Bernama.
CHEC ialah anak syarikat China Communications Construction Company Ltd, kontraktor utama projek ECRL.
Wenfeng berkata, pembinaan projek itu telah mencapai kemajuan 50.29 peratus sehingga pertengahan bulan lepas dan berada di landasan yang betul untuk disiapkan menjelang akhir 2027.
“Projek ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu A, B dan C. Kami telah menyiapkan kebanyakan kerja awam di Bahagian A dan B. Secara kasarnya, projek ini separuh siap,” jelasnya.
Beliau berkata, projek itu dijangka menyediakan sehingga 18,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Pelaksanaan projek itu juga akan menyaksikan lebih 5,000 juruteknik dilatih dalam pembinaan dan operasi kereta api,” ujarnya.
Beliau berkata, mereka juga telah melaksanakan perlindungan alam sekitar, termasuk mengubah reka bentuk penjajaran dan mengguna pakai peralatan mesin pengorek terowong (TBM) termaju untuk menggantikan kaedah perlombongan tradisional seperti letupan dan penggalian untuk pembinaan terowong untuk meminimumkan kesan projek terhadap alam sekitar.
“Projek ini boleh merangsang pembangunan ekonomi dan sangat penting untuk meningkatkan kesalinghubungan antara negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan negeri-negeri Pantai Barat,” tambahnya.
Projek itu, yang juga merupakan bahagian penting daripada Inisiatif Jalur dan Jalan China di Malaysia, juga akan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
ECRL ialah cadangan projek infrastruktur kereta api yang direka bentuk untuk meningkatkan kesalinghubungan antara negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu, dan Pahang) dan negeri-negeri Pantai Barat (Negeri Sembilan, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya), yang kini hanya sebahagian dihubungkan dengan kereta api. – UTUSAN










