PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis berikutan aktiviti belian muncul susulan keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedah, kata penganalisis.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.43 mata kepada 1,452.99 daripada 1,451.56 penutup semalam.
Indeks dibuka 1.21 mata lebih baik pada 1,452.77.
Bagaimanapun, dalam pasaran yang lebih luas, kaunter negatif dengan rugi mendahului kaunter untung sebanyak 161 berbanding 136, manakala 251 kaunter tidak berubah, 1,826 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 145.91 juta unit bernilai RM63.49 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng berkata, Wall Street mengalami sesi yang sukar sebelum berakhir dalam wilayah negatif apabila Fed menghentikan pelarasan kadarnya.
Bagaimanapun, katanya, Fed AS telah memberi isyarat satu lagi kenaikan kadar sebelum akhir tahun.
“Di tanah air, FBM KLCI merosot kepada hampir paras 1,450 di tengah-tengah beberapa stok `keluar’ menjelang keputusan Fed semalam (Rabu).
“Namun begitu, kami menganggap aktiviti belian akan muncul semula susulan keputusan Fed. Justeru, kami menjangkakan indeks berlegar antara julat 1,450-1,460 hari ini (Khamis),” katanya.
Beliau juga menjangkakan sokongan untuk saham perbankan pada Khamis berikutan penurunan jualan kecil sejak beberapa hari lalu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. tidak berubah pada RM8.86, manakala Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tidak berubah pada RM10.12, Public Bank Bhd menokok dua sen kepada RM4.21, CIMB Group Holdings Bhd. naik dua sen kepada RM5.64, dan Petronas Chemicals Group Bhd. jatuh dua sen kepada RM7.28.
Bagi saham aktif, Hextar Industries Bhd. naik satu sen kepada 41.5 sen, Top Glove Corp Bhd. naik 1.5 sen kepada 84.5 sen, Careplus Group Bhd. naik 1.5 sen kepada 30 sen, Supermax Corp Bhd. naik tiga sen kepada 88.5 sen dan Tanco Holdings Bhd. susut setengah sen kepada 55 sen. – UTUSAN










