PETALING JAYA: Bursa Malaysia bercampur-campur pada awal dagangan hari ini sejajar dengan prestasi Wall Street yang lemah pada Jumaat lalu, dan di tengah-tengah prestasi serantau yang bercampur-campur.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.81 mata kepada 1,448.42 daripada 1,450.23 penutup Jumaat lepas. Indeks dibuka 0.4 mata lebih mudah pada 1,449.83, menurut laporan Bernama.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 179 berbanding 160, manakala 293 kaunter tidak berubah, 1,767 lagi kaunter tidak diniagakan dan 49 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 228.28 juta unit bernilai RM97.95 juta.
Wall Street meneruskan kejatuhan berturut-turut pada Jumaat lalu kerana pelabur masih berhati-hati mengenai prospek kadar faedah dan kemungkinan kerajaan AS `ditutup.’
Malacca Securities Sdn. Bhd. menjangkakan tekanan jualan mungkin melimpah kepada saham di pasaran tempatan pada hari ini.
“Namun begitu, kami berpanjangan bahawa risiko menurun harus dihadkan kerana pelabur mungkin menumpukan pada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Belanjawan 2024 bulan depan,” katanya dalam nota.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. tidak berubah pada RM8.88, Public Bank Bhd. menokok satu sen kepada RM4.21, manakala CIMB Group Holdings Bhd. susut dua sen kepada RM5.57. Petronas Chemicals Group Bhd. pula susut empat sen kepada RM7.31 dan Tenaga Nasional Bhd. jatuh empat sen kepada RM10.12.
Bagi saham aktif, Land & General Bhd. naik setengah sen kepada 14 sen, Ekovest Bhd. naik setengah sen kepada 59.5 sen, Puncak Niaga Holdings Bhd. meningkat lima sen kepada 42 sen dan Hextar Industries Bhd. naik satu sen kepada 41 sen. Barakah Offshore Petroleum Bhd. pula susut setengah sen kepada lima sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.29 mata kepada 10,735.61, Indeks FBMT 100 susut 13.21 mata kepada 10,394.98, Indeks FBM Emas Shariah susut 16.96 mata kepada 10,990.87 dan Indeks FBM 4 menguncup 790.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.80 mata kepada 16,216.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.58 mata kepada 174.25, dan Indeks Tenaga turun 2.52 mata kepada 904.40, manakala Indeks Perladangan 3.28 mata lebih kukuh kepada 6,9930.50. – UTUSAN










