Brahim’s pertimbang lepas 70 peratus kepentingan dalam BFS

Brahim’s pertimbang lepas 70 peratus kepentingan dalam BFS

IBRAHIM Ahmad (tengah)bercakap pada taklimat media Brahim's Food Services Sdn. Bhd. (BFS) di Bangunan Kemudahan BFS Brahim's di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Syarikat katering dalam penerbangan, Brahim’s Holdings Berhad (BHB) bersedia mempertimbang untuk melepaskan 70 peratus kepentingan dalam Brahim’s Food Services Sdn. Bhd. (BFS) bagi membantu anak syarikatnya itu menstruktur semula kedudukan kewangan.

Menurut Pengerusi Eksekutif BHB, Datuk Seri Ibrahim Ahmad, BHB telah memulakan rundingan bersama beberapa syarikat tempatan sejak beberapa minggu lalu mengenai perkara tersebut.

“Beberapa syarikat telah mengambil pendekatan untuk mengadakan pertemuan dan rundingan sejak tiga minggu lalu untuk pengambil alihan.

“Apa yang saya boleh katakan, kami masih berada di peringkat rundingan (dan) masih tiada keputusan dibuat setakat ini. Kami jangka untuk buat keputusan (mengenai rundingan) itu secepat mungkin,” katanya menerusi sesi soal jawab bersama media di sini, semalam.

Malaysia Airlines Berhad (MAB) tidak pernah hilang 30 peratus pegangannya sejak 2003 dan kedudukan mereka adalah kekal memegang saham terus daripada BFS.

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada pakar berkaitan BFS untuk memulihkan struktur kewangan mereka dan antaranya BFS perlu terbuka untuk mendengar tawaran daripada pihak lain yang berminat membeli kepentingan 70 peratus itu.

Mengulas penamatan kontrak katering selama 25 tahun dengan MAB pada 31 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brahim’s, Mohd Fadhli Abdul Rahman berkata, BHB terbuka dan mengalu-alukan rundingan semula bersama syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group (MAG).

“Saya fikir kami sangat terbuka untuk mengalu-alukan mereka kembali tetapi sudah tentu terma rundingan itu mesti adil antara kedua-dua pihak. Sekali lagi saya katakan, kami menjalankan perniagaan yang sangat adil, jika terma (rundingan) adil maka kami bersedia menerima, itu tidak ada masalah,” ujarnya.

Chef Brahim’s Food Services Sdn. Bhd. (BFS) menyediakan sajian makanan untuk syarikat penerbangan di Bangunan Kemudahan BFS Brahim’s di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Mohd Fadhli berkata, secara keseluruhan perkhidmatan bekalan makanan dalam penerbangan mereka masih berjalan seperti biasa dan sekali gus menepis dakwaan kononnya syarikat itu bermasalah.

“Jika ada yang mengatakan prestasi Brahim’s tidak memberangsangkan, bagaimana kami menjadi penyedia  perkhidmatan untuk 10 syarikat penerbangan terbaik di dunia?,” soalnya.

Untuk rekod, BFS menyediakan perkhidmatan kepada 32 syarikat penerbangan antarabangsa antaranya enam daripada 10 syarikat penerbangan terbaik dunia iaitu Qatar Airways, Emirates, ANA All Nippon Airways, Japan Airlines, Turkish Airways dan Korean Air.

Pada 30 Ogos, media melaporkan MAG dan Brahim’s Holdings Bhd menamatkan kerjasama katering dalam penerbangan selepas melalui tempoh rundingan yang menyeluruh dan berpanjangan.

MAG dalam satu kenyataan berkata, ia telah menerima notis rasmi pemberhentian kerjasama itu pada 30 Jun lalu, namun Brahim’s kemudiannya bersetuju melanjutkan perkhidmatan selama dua bulan.

Menurut MAG, ia akan terus meneroka pelbagai strategi untuk menjamin kemampanan perniagaan, termasuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) yang mempunyai reputasi dengan berkongsi komitmen terhadap pengalaman penumpang premium dan perkhidmatan dalam penerbangan yang cekap di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam pada itu, MAG berkata, ia akan mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan (BCP) bagi perkhidmatan makanan dalam penerbangan untuk beberapa laluan terpilih di bawah Malaysia Airlines, berkuat kuasa 1 September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN