PETALING JAYA: Bilangan penganggur terus menurun kepada 579,200 orang pada Julai 2023 berbanding 581,700 pada bulan sebelumnya, mencatatkan kadar pengangguran 3.4 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh dilihat berkembang secara sederhana, merekodkan bilangan penduduk bekerja yang semakin meningkat, manakala bilangan penganggur menurun.
Katanya, bilangan tenaga buruh pada Julai naik sebanyak 0.1 peratus kepada 16.91 juta orang (Jun 2023: 16.89 juta orang), mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada bulan tersebut iaitu pada 70.1 peratus (Jun 2023: 70.0 peratus).
“Bilangan penduduk bekerja pada Julai mencatatkan trend menaik yang berterusan, dengan peningkatan 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.34 juta orang (Jun 2023: 16.31 juta orang).
“Manakala, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 579,200 orang (Jun 2023: 581,700). Kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 3.4 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd. Uzir berkata, kategori pekerja yang secara konsisten membentuk komposisi terbesar penduduk bekerja, merangkumi sumbangan sebanyak 75.4 peratus.
Tambahnya, kategori ini mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.31 juta orang (Jun 2023: 12.30 juta orang).
“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri turut berada dalam trend meningkat, dengan kenaikan sebanyak 0.4 peratus merekodkan 2.96 juta orang (Jun 2023: 2.95 juta orang).” ujarnya.
Jelasnya, dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; dan pendidikan.
Begitu juga, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian juga kekal dalam trend positif, manakala sektor pembuatan dan pertanian merekodkan penurunan sedikit pada bulan tersebut.
“Mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80.2 peratus daripada jumlah penganggur. Kategori ini merekodkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 464,700 orang (Jun 2023: 466,900).
“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.3 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.3 peratus.
“Pada masa yang sama, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus kepada 114.5 ribu orang (Jun 2023: 114,800),” jelasnya.
Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.9 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 311,200 (Jun 2023: 11.0 peratus; 312,400).
“Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.8 peratus, merekodkan 444,800 penganggur belia (Jun 2023: 446,800).
“Bagi kumpulan tidak aktif pula, bilangan penduduk di luar tenaga buruh turun sedikit iaitu sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang pada Julai 2023 (Jun 2023: 7.23 juta orang),” katanya.
Beliau merumuskan, kedudukan tenaga buruh pada Julai selaras dengan jangkaan perniagaan yang positif pada suku ketiga tahun ini.
Jelasnya, perkara ini disokong oleh kestabilan pasaran buruh, peningkatan dalam pelancongan domestik dan prospek yang lebih optimistik dalam industri pelancongan kesihatan, kedudukan tenaga buruh negara dijangka kekal positif dan berkembang secara sederhana pada bulan seterusnya. – UTUSAN









