Belanjawan 2024: Tambah peruntukkan promosi pelancongan

Belanjawan 2024: Tambah peruntukkan promosi pelancongan

PELANCONGAN antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggiat industri pelancongan memohon lebih banyak dana diperuntukkan untuk mempromosikan Malaysia dalam Belanjawan 2024 seterusnya membolehkan negara menjana lebih banyak hasil daripada sektor berkenaan.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, pada masa sama, kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan penggiat industri perlu dibuat secara sistematik dan lebih agresif berbanding sebelum ini.

Katanya, Tourism Malaysia mempunyai 30 pejabat di luar yang boleh digunakan untuk membuat promosi dengan lebih agresif dan berimpak tinggi.

“Kita tak mahu ketinggalan berbanding negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang sangat agresif mempromosikan negara mereka di luar negara.

“Kerjasama daripada semua pihak diperlukan bagi menarik pelancong kerana ekonomi negara akan dijana apabila pelancog datang dan berbelanja di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pada masa sama, Uzaidi turut meminta kerajaan memudahkan kemasukan pelancong yang datang menggunakan ejen dan visa semasa ketibaan (VoA) membabitkan pelancong China.

Menurutnya, Thailand telah mengecualikan visa bagi pengembara dari China dan Kazakhstan untuk tempoh lima bulan mulai 25 September hingga akhir Februari, dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong negara berkenaan.

“Ini kerana mereka mahu menarik pelancong untuk datang dan berbelanja di negara mereka. Negara kita juga boleh memudahkan kemasukan pelancong. Penguatkuasaan boleh dibuat tetapi jangan sekat pelancong untuk datang ke sini,” ujarnya.

Tambahnya, penekanan dan promosi juga perlu diadakan di negara-negara yang kurang popular seperti Senegal yang rakyatnya dilaporkan teruja untuk datang ke Malaysia.

“Selain itu, promosi juga boleh dibuat terhadap pelancong Russia kerana negara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak banyak menerima mereka.

“Tahun lalu, sebanyak 22 juta warga Russia melancong ke luar negara dan destinasi pilihan mereka adalah Mesir dan Thailand. Malaysia hanya menerima 50,000 pelancong dari negara tersebut. Jadi, kita perlu memikirkan cara untuk menarik mereka ke Malaysia,” jelasnya.

Kerajaan memperuntuk RM250 juta bagi mempromosi sektor pelancongan menerusi Belanjawan 2023.

Malaysia dilaporkan menyasar untuk menarik 16.1 juta pelancong antarabangsa tahun ini, dengan sasaran pendapatan lebih RM49.2 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN